Isu Panas

Tindakan A Samad tidak pelik

MUAR – Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said diharapkan boleh membuktikan tindakannya menyertai DAP adalah tepat dan tidak membuat pusingan U seperti bekas ahli parti berkenaan sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana ahli baharu memuji parti baharu yang disertainya adalah yang terbaik, sedangkan sebaliknya pula diperkatakan oleh bekas ahli parti tersebut.

“Saya tidak berasa pelik apabila A Samad menjadi ahli DAP, ia senario biasa dan setiap orang mempunyai hak membuat pilihan yang dirasakannya betul, selain berpandangan yang berbeza.

“Saya juga harap beliau konsisten dengan pendirian tersebut (DAP parti terbaik) dan janganlah pujian ini hanya untuk tempoh yang singkat,” katanya pada sidang media selepas lawatan bertemu mangsa kebakaran kedai runcit di Pekan Seri Menanti, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penyertaan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam DAP, selain mendakwa perjuangan parti itu berada di landasan yang betul dalam satu majlis di Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun gelaran istimewa yang dimiliki A Samad sebagai Sasterawan Negara tidak memberi kelebihan kepadanya untuk meyakinkan orang ramai bahawa keputusannya menyertai DAP adalah betul.

“Ramai orang berjaya dengan pelbagai anugerah seperti pelajar cemerlang tetapi akhirnya membuat keputusan yang tidak bijak sehingga menjadikannya orang yang gagal.

“Janganlah kita dipergunakan dan terlalu sibuk dengan dakwaan sebegini (DAP parti betul), sedangkan ia tidak memberikan masa depan kepada keluarga,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Razali berkata, banyak keputusan tidak popular dibuat kerajaan sebelum ini, telah memberikan manfaat kepada rakyat pada hari ini seperti pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");