Jenayah

Tinggalkan 3 batu selepas merompak

SUNGAI PETANI – Tindakan sekumpulan perompak meninggalkan tiga ketul batu di tembok luar kediaman yang dipecah masuk menimbulkan tanda tanya pemilik rumah di Taman Kristal, di sini, kelmarin.

Mangsa, Shabari Ibrahim, 43, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, dia yang sedang tidur dikejutkan bunyi pintu bilik ditendang dari luar.

Menurutnya, dalam keadaan samar-samar dia ternampak kelibat tiga lelaki meluru masuk ke dalam biliknya.

“Mereka mengugut menggunakan parang dan pemotong (cutter) supaya kami tidak membuat bising sebelum membuka lampu bilik.

“Ketiga-tiga suspek yang menutup muka menggunakan baju itu turut berkomunikasi sesama sendiri menggunakan loghat warga asing,” katanya.

Shabari berkata, perompak berkenaan mengikat tangannya menggunakan wayar periuk nasi manakala anak lelakinya berusia 14 tahun diikat menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.
Bagaimanapun, isteri dan anaknya yang berusia enam tahun tidak diikat sebaliknya diarah duduk diam di atas katil.

“Seorang daripada suspek mengarahkan isteri menanggalkan barang kemas yang dipakai sebelum ketiga-tiga perompak berkenaan keluar dari rumah kami sekitar jam 4 pagi.

“Selepas 10 minit suspek meninggalkan rumah kami, saya bergegas memaklumkan kejadian berkenaan kepada jiran,” katanya.

Shabari berkata, apabila dia memeriksa persekitaran rumahnya, dia mendapati suspek meninggalkan tiga ketul batu beralaskan kain di atas tembok luar kediaman.

Jelasnya, tindakan perompak itu membuatkan dia berasa musykil malah selepas memeriksa persekitaran kediamannya, didapati tiada kesan pecah rumah ditemui.

“Akibat kejadian itu, kami kerugian hampir RM20,000 apabila barangan seperti barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit diambil perompak berkenaan,” katanya.

Shabari berkata, dia sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");