Sukan Hari Ini

Tukar taktik permainan

SINGAPURA – Ketua Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee bakal menggunakan strategi yang sama sekali berbeza apabila berdepan Vietnam dalam misi ‘wajib menang’ pada perlawanan kedua Sukan SEA di Stadium Bi­shan, malam ini.

Ketiadaan pemain yang dianggap ‘jeneral di atas padang’, Muhd. Nazmi Faiz Mansor akibat penggantungan memaksa Kim Swee menukar sepenuhnya sistem permainan, namun beliau percaya, pemainnya tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri.

Seri atau kalah bakal menyaksikan laluan penuh ranjau menanti skuad negara untuk menamatkan cabaran selaku dua pasukan teratas Kumpulan B kerana mereka dijadual bertemu Thailand, lawan yang pasti lebih sukar dalam aksi ketiga, Khamis ini.

Kualiti Vietnam yang masih mendapat sentuhan jurulatih dari Jepun, Toshiya Miura tidak dapat dinafikan oleh Kim Swee, yang menganggap lawannya dibekalkan ramai pemain berkualiti daripada segi skil dan kepantasan.

Berdasarkan pengamatannya ketika Vietnam menang besar 6-0 ke atas Brunei dalam aksi sulung 29 Mei lalu, dia telah menyenaraikan beberapa pemain yang perlu dihalang selain kelebihan mereka di posisi sayap kiri.

“Pemain yang menjadi tonggak penting Vietnam ialah kap­ten (Pham Manh Dung) yang memakai jersi No. 3 dan beraksi di posisi bek kiri, selain dua pemain tengah yang memakai jersi No. 11 (Do Duy Manh) dan No. 14 (Nguyen Huy Hung).

“Mereka bertiga beraksi de­ngan cukup baik di bahagian kiri dan Vietnam juga mempunyai beberapa penyerang yang dianggap berbahaya seperti pemain No. 16 (Le Thanh Binh) dan No. 20 (Tran Phi Son). Pemain No. 10 (Nguyen Cong Phuong) pula biasanya akan dimasukkan pada babak kedua.

“Jadi, saya kena merencanakan sesuatu bagi menyekat aliran serangan Vietnam dari bahagian sebelah kiri yang saya nampak menjadi aset kekuatan mereka bagi mendapatkan jaringan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan
Bawah 23 tahun di Stadium Bukit Gombak, semalam.

Walaupun sedar kemenangan cukup mustahak ekoran perbezaan jaringan yang pasti akan memihak kepada Vietnam jika kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri, Kim Swee tetap tenang sambil sekadar mahu pintu gol pasukan negara tidak dibolosi sepanjang 90 minit permainan.

“Sudah tentu tiga mata perlu dicari agar laluan kami lebih selesa selepas ini, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kerana kami masih ada tiga lagi perlawanan selepas ini.

“Sekiranya kami dapat kekalkan pintu gol kami tidak bolos pada perlawanan itu dan mendapat sekurang-kurangnya keputusan seri, saya anggap itu sudah baik buat pasukan kami sebelum berdepan Thailand pada 4 hari bulan nanti,” katanya.

Dalam perlawanan pertama di Bishan, 29 Mei lalu, skuad negara terpaksa berhempas pulas meraih kemenangan 1-0 ke atas Timor Leste hasil jaringan tunggal D. Saarvindran, minit ke-11.
Mereka dipaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain sejak minit ke-32 ekoran selepas Nazmi dilayangkan kad merah.

Ketiadaan Nazmi kemungkinan membuka peluang kepada dua pemain, Mohd. Ariff Farhan Mohd. Isa dan Saiful Ridzuwan mengintai slot di bahagian tengah untuk bergandingan dengan Gary Steven Robbat serta Mohd. Ami­rul Hisyam Awang Kechik.

Begitupun, Kim Swee mengakui beliau terpaksa menukar corak permainan bagi bertemu ­Vietnam.

“Tanpa Nazmi, saya terpaksa menukar sistem permainan kami namun bagi pemain, mereka tiada masalah untuk mengikuti apa yang mahu rancangkan dan saya masih ada beberapa pemain lain yang boleh diturunkan.

“Ariff Farhan dan Saiful Ridzuwan saya fikir bersedia jika hendak diturunkan cuma saya tidak boleh gunakan cara permainan yang sama ketika berdepan Timor Leste kerana seorang pemain yang berbeza,” katanya.

Mampukah tanpa Nazmi?
– http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");