Berita Hari Ini

Aidilfitri: SPAD tugaskan 300 penguat kuasa

KUALA LUMPUR – Menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun ini, sebanyak 300 pegawai penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan operasi terhadap perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negara.

Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata operasi selama dua minggu itu akan memberi fokus kepada terminal bas utama di seluruh negara.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan terhadap pengusaha bas ekspres dan memastikan sama ada tiket bas untuk penumpang pulang ke kampung dijual dengan betul serta lesen dan permit mereka masih sah untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata operasi SPAD dalam masa sama akan turut memberi tumpuan kepada pemandu teksi yang mengambil kesempatan tidak menggunakan meter dan mengenakan caj berlebihan.

“Kita juga akan pantau di sekitar kawasan terminal jika terdapat sebarang aktiviti ulat tiket yang cuba meraih penumpang dan menjual tiket haram,” katanya.

Che Hasni berkata anggota penguatkuasa SPAD akan bertugas selama 24 jam sehari bagi tempoh tiga hari sebelum dan empat hari selepas Aidilfitri bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai.

“Ia akan turut melibatkan pegawai yang membuat penyamaran di dalam bas ekspres kerana tumpuan utama operasi kita ialah memastikan perkhidmatan bas ekspres mematuhi peraturan,” katanya.

Sementara itu, Che Hasni berkata dari Jun 2011 hingga Mei lepas, SPAD telah menjalankan 771 operasi penguatkuasaaan terhadap perkhidmatan bas ekspres di seluruh negara.

“Rentetan itu, 6,913 tindakan diambil terhadap bas ekpres yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dan permit operasi,” katanya.

SPAD juga telah mengambil tindakan terhadap 8,106 teksi; 8,406 lori; 194 ulat tiket; dan 347 teksi sapu yang turut melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh sama, katanya.

Che Hasni dalam pada itu menasihatkan penumpang bas ekspres segera melaporkan kepada pegawai penguat kuasa jika kenderaan yang mereka naiki untuk balik ke kampung dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Penumpang juga perlu pastikan tiket yang dibeli adalah sah dan dicetak secara elektronik dengan mengandungi nama syarikat bas, destinasi, harga tiket, nombor tempat duduk dan masa berlepas,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");