Membawang Hari Ini

Ammar tenang

Nama pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi, Ammar Alfian tercalar sekali lagi apabila didakwa tidak berdisiplin dan berlagak diva di lokasi penggambaran drama bersiri Puteri Gunung Ledang (PGL – Aku Telah Jatuh Cinta) terbitan A Aida Production untuk HyppTV, baru-baru ini.

Dalam drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah itu, Ammar atau nama sebenarnya, Ammar Alfian Aziz tampil sebagai teraju utama bergandingan dengan Atikah Suhaime, Idris Khan, Sabhi Saddi dan Keena Mentor.

Namun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tari Tirana itu tidak cepat melatah sebaliknya tenang menepis dakwaan berkenaan.

“Semuanya bermula apabila saya beri pandangan mengenai isu ‘call time’ dalam kumpulan WhatsApp produksi drama itu. Sudah empat kali saya berdepan isu sama, malah saya percaya pelakon lain juga tidak puas hati dengan perkara itu tetapi tidak berani bersuara,” katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Ammar berkata, sebagai pelakon yang komited dia sentiasa memastikan dirinya datang lebih awal ke lokasi sebelum penggambaran bermula.

“Saya diminta hadir ke lokasi jam 9 pagi pada hari itu. Bayangkan, saya terpaksa berkejar ke Sri Rampai dari kediaman di Rawang. Malah, saya hampir terbabit kemalangan jalan raya kerana ingin sampai pada waktu ditetapkan.

“Sebaik saja tiba di lokasi, pihak produksi memaklumkan babak saya hanya akan bermula pada jam 12 tengah hari. Apabila terpaksa menunggu dalam kereta selama tiga jam, orang menganggap saya ada masalah disiplin dan berlagak diva?

“Lebih teruk lagi, ada pihak menyebarkan cerita saya bawa teman wanita hingga mengganggu kerja penggambaran sedangkan saya solo. Hubungan dengan teman wanita iaitu Casandra sudah berakhir tiga bulan lalu,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sesi prebiu Syukur Selalu Syawal TV3 dan TV9 dan Tonton 2015 di Hotel Istana, baru-baru ini.

Ammar berharap penjelasan yang diberi dapat membersihkan kembali imejnya.

“Saya baru saja dapat peluang kedua selepas digam pihak media tempatan selama empat tahun dulu. Kini, saya kembali dengan semangat baru untuk merancakkan industri hiburan. Saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan sebarang kontroversi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ammar, dia bersyukur kerana A Aida terus mempercayai bakatnya dan mengundangnya berlakon dalam dua lagi drama terbitan syarikat produksi berkenaan.

“Aida juga ada dalam kumpulan WhatsApp produksi dan dia sedia maklum isu terbabit. Jika saya pelakon bermasalah, pasti dia tidak menawarkan saya berlakon dalam drama terbitan produksinya lagi.

“Saya baru saja selesai menjalani penggambaran dua drama terbitan produksi sama iaitu Abang Sado Jemur Kain untuk stesen TV3 dan projek terbaru berjudul Bodyguard,” katanya.

Manakala, drama lakonan Ammar berjudul Eksperimen Cinta kini hangat bersiaran di TV3. Selain itu, dia turut menjayakan drama bersiri Syurga Nur arahan Jinggo terbitan JS Pictures juga untuk TV3.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");