Berita Hari Ini
Like

Belum ada keperluan lakukan pembenihan awan

July 3, 2015
54 Views
0 Comments
2 minutes read
Belum ada keperluan lakukan pembenihan awan

KUALA LUMPUR – Belum ada keperluan melakukan pembenihan awan kerana cuaca panas dan kering berikutan monsun barat daya yang melanda negara, masih terkawal.

Pengarah Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi, Maznorizan Mohamad berkata, cuaca panas pada suhu antara 33 dan 35 darjah Celsius ketika ini tidak memudaratkan dan belum menjejaskan paras air di empangan.

“Kami akan lakukan pembenihan awan apabila ada permintaan daripada operator empangan yang memerlukan khidmat tersebut atas sebab paras air yang kritikal dan jika terdapat awan yang bersesuaian.

“Dengan keadaan cuaca ketika ini, sukar berlaku pembentukan awan yang sesuai dan sekiranya pembenihan dilakukan dalam keadaan yang tidak sesuai, ia tidak akan berjaya. Namun ketika ini masih belum ada keperluan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Maznorizan berkata pembenihan awan juga hanya akan dilakukan apabila tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 dalam tempoh 72 jam, namun ia juga masih bergantung kepada potensi hujan yang akan berlaku.

Mengenai potensi taburan hujan, beliau berkata parameter lautan dan atmosfera terkini menunjukkan keadaan El-Nino lemah sedang berlaku yang menyebabkan jumlah hujan di Malaysia menjadi lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa jika terdapat keperluan dan menentukan masa terbaik melakukan aktiviti pembenihan awan.

Portal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan paras air di lapan empangan di Selangor iaitu Batu, Klang Gates, Kolam Takungan Sungai Labu (ORS), Langat, Semenyih, Sungai Selangor, Sungai Tinggi dan Tasik Subang masih stabil dengan catatan paras air antara 38.41 meter dan 214.51 meter.

Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati kesemua 52 kawasan yang dibuat pemantauan kualiti udara di seluruh negara hari ini menunjukkan IPU berada pada paras baik dan sederhana dengan Pelabuhan Klang dan Shah Alam masing-masing merekodkan catatan tertinggi pada bacaan 75.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Jabatan Meteorologi sebelum ini memaklumkan musim monsun barat daya yang membawa cuaca panas dan kering itu diramalkan berlanjutan hingga September.

– Bernama

Komen & Pendapat

Leave a Reply