Sukan Hari Ini

Beng Hee bersara

PEMAIN skuasy senior negara, Ong Beng Hee, mengumumkan persaraannya daripada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Pemain handalan berusia 35 tahun dari Pulau Pinang yang menduduki tangga ketujuh dalam senarai jelajah dunia ini, mengumumkan perkara itu melalui akaun Twitternya.

“Ong Beng Hee telah mengabdikan dirinya kepada sukan skuasy sejak 20 tahun lalu, kehilangannya daripada Jelajah Dunia PSA pasti akan amat dirasai,” kata Ketua Eksekutif PSA, Alex Gough yang dipetik daripada laman sesawang PSA, psatour.com.

“Seorang ahli sukan sejati di gelanggang dan seorang lelaki budiman di luar gelanggang, Beng Hee menjadi inspirasi kepada pemain muda skuasy di seluruh dunia dan bagi pihak semua yang terlibat dengan skuasy profesional, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya
dalam apa jua usaha yang beliau ceburi selepas ini,” katanya.

Lakar kejayaan penting

Juara PSA 15 kali, Beng Hee mula menjadi pemain profesional pada 1996 dan bermain dengan cemerlang dalam 202 kejohanan.

Di samping mencatat pencapaian cemerlang dalam Jelajah Dunia PSA, Beng Hee juga melakar beberapa kejayaan penting ketika mewakili Malaysia pada kejohanan antarabangsa termasuk meraih dua pingat emas Sukan Asia dan satu pingat perak pada Sukan Komanwel 2002.

Menurut Beng Hee, dia akan terus melibatkan diri dengan sukan yang sangat dicintainya itu dengan menjadi jurulatih Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) dan berharap dia dapat membimbing generasi baharu pemain Malaysia menduduki tangga teratas di arena skuasy dunia.

Tiada galang ganti

Sementara itu, ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyifatkan Beng Hee adalah satu-satunya pemain yang tiada galang ganti yang banyak mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Terima kasih kerana memulakan langkah untuk memajukan nama negara khususnya sukan skuasy sejak awal pembabitan. Anda telah menjadi rakan kongsi yang hebat dan telah bersama pasukan dalam meraih kemenangan.

“Juga menjadi sahabat baik dan kita berdua membesar dalam permainan skuasy bersama-sama.

“Selamat bersara Beng Hee dan semoga berjaya dalam fasa seterusnya dalam kerjaya anda! Kami pasti akan terlepas ketawa anda dalam siri jelajah,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");