Jenayah

Bilik kuliah UiTM Dungun terbakar

DUNGUN – Sebuah bangunan kayu lama yang menempatkan bilik pensyarah dan bilik kuliah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, musnah dalam kebakaran yang berlaku di sini, kelmarin.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Datuk Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kebakaran berlaku secara tiba-tiba dan disedari penuntut yang kebetulan berada berhampiran.

“Dalam kejadian lebih kurang jam 6.35 petang itu, penuntut berkenaan segera maklumkan kebakaran kepada polis bantuan dan kemudiannya mereka bertindak pantas hubungi bomba.

“Difahamkan, pihak bomba alami sedikit kesukaran untuk kawal api kerana angin kencang dan keadaan fizikal bangunan dibina dengan kayu, menyebabkan api cepat merebak ke seluruh bangunan,” katanya menerusi satu kenyataan bertulis kepada media.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

“Ketika kejadian, kebanyakan penuntut berada di kolej masing-masing untuk persiapan berbuka puasa.

“Api berjaya dipadam sepenuhnya lebih kurang dua jam kemudian dan punca sebenar masih dalam siasatan pihak bomba.

“Kerugian sebenar juga belum ditafsir oleh pihak UiTM,” katanya.

Berdasarkan sumber, ada empat bilik kuliah di bangunan itu dan mampu tempatkan 80 hingga 100 pelajar dalam satu masa.

Bangunan lama itu juga digunakan sebagai transit sekiranya kuliah diploma bertembung dengan sesi kuliah peringkat ijazah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohammad berkata, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan hampir seratus peratus bangunan sementara tersebut.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 6.52 petang dan tiba ke lokasi beberapa minit kemudian… dua jentera dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 7.08 malam dan operasi padam sepenuhnya pada jam 9.52 malam,” katanya.

Kata beliau, pihaknya dapat menghalang api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan ketika kebakaran, hujan lebat serta kilat sambar menyambar.

“Tapi punca dan kerugian masih belum diketahui, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");