Berita Hari Ini

Bukan masa PM terus ‘berlembut’

PEKAN – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam disifatkan sebagai titik noktah kepada beliau untuk terus berlembut dalam menyelesaikan krisis serta isu-isu dalaman berkaitan kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Naib Ketua Umno bahagian, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, rombakan yang dilakukan adalah bukti keberanian perdana menteri dalam usaha memulihkan kembali krisis yang timbul dalam kepimpinannya.

Menurutnya, sudah pasti pelbagai pandangan diambil, penelitian terperinci dan juga pertimbangan diambil sebelum melaksanakan rombakan kabinet.

“Rombakan tersebut bukanlah cara perdana menteri menunjukkan kuasa..tetapi saya yakin ia terpaksa dilakukan bagi memastikan kepimpinannya mantap dengan anggota yang mampu memberi gambaran positif dan cerita yang tepat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zamri berkata, kekuatan seorang ketua adalah pada sifat amanah serta dikelilingi penyokong yang setia kepada kepimpinannya sekali gus menguatkan parti dan melancarkan setiap agenda demi kebaikan rakyat dan negara secara amnya.

Bagi Ketua Penerangan Umno bahagian, Datuk Abdul Manaf Sulong, rombakan kabinet yang dibuat dilihat sebagai satu tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan situasi terkini.

“Tindakan mengeluarkan mereka yang lantang bersama mengkritik pentadbiran wajar dilakukan kerana tiadanya sifat setia dan bersatu dalam menghadapi pelbagai tekanan dan isu yang timbul kini.

“Umno memerlukan sebuah pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda terutamanya perlaksanaan RMK11 dan sasaran menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020 berjaya direalisasikan.

“Sepatutnya tiada masa untuk melayan isu-isu yang cuba menjatuhkan kepimpinan kerajaan dan mengeluarkan kenyataan negatif dan jelas dilihat cuba merosakkan reputasi ketua sendiri,” katanya.

Menurutnya, kritikan terhadap perdana menteri bukan satu cara yang wajar kerana kerajaan sendiri telah berjanji untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dan semua usaha jelas telah dilakukan seperti siasatan berterusan bagi membuktikan kebenaran.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");