Sukan Hari Ini

EPL: MU ke AS dengan nasib De Gea, Di Maria masih kabur

LONDON: Manchester United berangkat untuk program Jelajah Amerika Syarikat, semalam, dengan membawa bersama pemain baharu bernilai STG80 juta (RM471.3 juta), tatkala masa depan David de Gea dan Angel di Maria masih belum menentu.

United sudah pun berjaya menyelesaikan proses pemeriksaan perubatan ke atas Bastian Schweinsteiger dan Morgan Schneiderlin, bagi membolehkan dua perancang hebat itu menyertai pasukan mereka ke Seattle, tengahari semalam.

Pengendali pasukan, Louis van Gaal percaya, Schweinsteiger selaku veteran Jerman yang diikat dengan nilai STG15 juta (RM88.39 juta) adalah pemain paling layak untuk mengukuhkan bahagian tengah United.

Schneiderlin yang juga pemain Perancis pula, tiba dari Souhthampton dengan harga STG24m adalah dikatakan sebagai antara perancang paling hebat di Eropah ketika ini.

Dengan United sudah pun melabur ke atas pemain Belanda, Memphis Depay dan pertahanan Itali, Matteo Darmian, skuad Van Gaal dilihat lebih kukuh, berbanding ketika dia tiba di kelab berkenaan setahun lalu.

Pun begitu, masih ada kekeliruan berhubung kedudukan De Gea dan Di Maria. De Gea yang menyertai kelab United ke AS – di mana mereka akan bermain empat perlawanan – setakat ini belum ada menerima bidaan daripada kelab La Liga, Real Madrid.

Tanpa sebarang alasan bagi menjelaskannya, penolongnya di gawang, Victor Valdes tidak bersama skuad berkenaan ke AS, sekali gus bermakna De Gea bakal beraksi sepenuhnya dalam jelajah itu.

Di Maria, pula dijangka masih menunggu bidaan daripada Paris Sain-Germain dalam tempoh beberapa hari ini, dan kelab dari Perancis itu dilihat memiliki peluang cerah berikutan pemain berkenaan tidak gembira tinggal di England.

Difahamkan pemain Argentina berusia 27 tahun itu dan isterinya, masih belum dapat serasi dengan kehidupan mereka di sini dan hendak berpindah.

Di Maria difahamkan berminat untuk kembali ke Real Madrid, namun sama ada dia akan ditawarkan untuk kelab yang menjualnya setahun lalu, terus menimbulkan tanda tanya.

Van Gaal sehingga saat ini masih memburu penyerang dan benteng tengah baharu. Dia dikatakan berminat dengan Robert Lewandowski dari Bayern Muncih, namun menyedari ia bukan kerja mudah kerana baharu saja mendapatkan Schweinsteiger di kelab sama. – AGENSI

– http://www.bharian.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");