Jenayah

Hasrat berbuka tepi pantai musnah

KUALA TERENGGANU – Seorang jururawat nyaris maut selepas keretanya dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut berserta hujan lebat lebih kurang jam 6.45 petang kelmarin, berhampiran Medan Selera Batu Buruk, di sini.

Siti Zulaikha Abd Aziz, 23, yang memandu Perodua Myvi berkata, kenderaannya remuk teruk dalam kejadian itu setelah pokok rhu menghempap bumbung keretanya.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan untuk jumpa rakan lain yang sedang tunggu untuk berbuka bersama di medan selera.

“Tiba-tiba ketika lalu di sini, sebatang pokok tumbang dan hempap bumbung kereta saya,” ceritanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, Zulaikha berjaya keluar dengan bantuan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan dan hanya mengalami cedera ringan.

Manakala seorang lagi mangsa kejadian ribut, Elyas, 28, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu pulang ke rumahnya selepas membeli juadah berbuka di bazar berhampiran.

“Pokok rhu yang hempap kereta dia (Zulaikha) juga kena pada cermin depan kereta saya (Honda City). Saya terkejut dengan kejadian itu dan terus keluar dari kereta.. dengan bantuan orang ramai, kami berjaya mengopak pintu kereta dia (Zulaikha) untuk selamatkannya,” katanya.

Tujuh lokasi dilanda ribut

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, kejadian ribut itu berlaku serentak di tujuh lokasi sekitar bandar Kuala Terengganu petang kelmarin.

Berikutan kejadian itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengerahkan 20 kakitangannya dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana lain berkuat kuasa serta-merta sehingga Aidilfitri.

“Selepas ini kita akan letakkan sekurang-kurangnya 20 pegawai dan kakitangan untuk bersedia hadapi sebarang kemungkinan seperti bencana hari ini (kelmarin) sehingga raya nanti.

“Kalau ada apa-apa masalah, kita boleh bertindak segera, lagipun kita jangka kemungkinan kejadian sama akan berlaku lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

Menurutnya, ribut yang melanda lewat petang di tujuh lokasi itu dilaporkan turut merosakkan enam kenderaan.

“Antara lokasinya ialah di Batu Buruk, Jalan Cherong Lanjut, hadapan Stadium Hoki dan di dalam kawasan Istana Nur Nadhirah,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan beliau turut menasihati orang ramai yang berbuka di tempat terbuka supaya melarikan diri di kawasan selamat, sekiranya berlaku kejadian ribut dan perkara yang tidak diingini.

Dalam masa sama, Kamil berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap pokok yang berisiko tumbang sebagai langkah keselamatan.

Malam kelmarin juga, seramai 50 kakitangan MBKT dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) serta JPAM berjaya membersihkan pokok tumbang dan jalan raya selamat digunakan pada hari sama.

Sementara itu, jurucakap bomba mengesahkan, pihaknya menerima 12 panggilan kecemasan kejadian pokok tumbang di sekitar bandar raya ini.

Hikmah terperangkap

Hasrat seorang pekerja swasta untuk berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Peranginan Batu Buruk, terbantut selepas keretanya dihempap pokok dalam kejadian ribut kencang berserta hujan lebat berhampiran medan selera Batu Buruk, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Nurul Najwa Hassim, 22, berkata, semasa kejadian, dia bersama ibunya, Aida Abdul, 54, berada di restoran makanan segera berdekatan bagi memesan makanan untuk mereka sekeluarga kerana berhajat untuk berbuka di pantai tersebut.

Disebabkan keadaan di luar masih hujan dan juga angin kencang, mereka berdua mengambil keputusan untuk menunggu seketika, walaupun makanan yang dipesan telahpun siap manakala ahli keluarga yang lain pula, ada yang belum sampai.

Namun apabila melihat kelibat pasukan bomba di luar, tiba-tiba terdetik kerisauan di hatinya kerana kereta dipandunya, Perodua Viva diletakkan di kawasan pantai tersebut.

“Tanpa buang masa, saya minta izin ibu untuk meninjau keadaan di luar untuk melihat keadaan kereta. Apabila sampai di kawasan itu, saya lihat beberapa kereta dihempap pokok di situ.

“Anggota bomba yang bertugas pula ketika itu mencari-cari pemilik kereta yang terlibat,” katanya.

Tergamam lihat kereta remuk

Walaupun dalam hatinya, Nurul Najwa tidak putus berdoa agar keretanya tidak dihempap pokok tetapi apabila tiba di tempat di parkir kereta itu, dia tergamam.

“Saya tak terkata apa apabila lihat kereta kena hempap pokok.. remuk habis,” katanya yang tinggal di Gong Badak.

Bagaimanapun ibunya, Aida Abdul berkata, melihat keadaan kereta yang rosak keseluruhan, dia memanjat kesyukuran kerana tidak berada di dalam kereta tersebut ketika kejadian.

“Alhamdulillah, ketika kejadian kami tak ada dalam kereta. Jika tidak, tak tahulah apa nasib kami,” kata ibu enam anak dan juga merupakan pekerja swasta.

Manakala abang mangsa, Muhd Al Nubli Hassim, 24, berkata, apabila mengetahui kejadian ribut dan angin kencang yang menyebabkan ada pokok tumbang dan keadaan jalan sesak, dia mula terfikir adik dan ibunya yang telah sampai terlebih dahulu di pantai tersebut untuk beli makanan dan segera hubungi mereka.

“Apabila dengar suara (adik) angkat telefon, hati saya lega. Walaupun dia beritahu keretanya rosak teruk.. tetapi saya amat bersyukur pada ALLAH SWT kerana mereka tak duduk dalam kereta ketika kejadian..,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");