Berita Hari Ini

Henti pertikai wibawa Pasukan Petugas Khas

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) meminta semua pihak menghentikan sebarang kenyataan yang mempertikaikan integriti, kewibawaan dan keanggotaan Pasukan Petugas Khas (PPK) dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi JKMR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, JKMR yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, telah dan sedang mengikuti dengan rapi perkembangan siasatan kes itu.

“PPK adalah sebuah badan yang diwakili oleh empat pemimpin tertinggi agensi yang mampu dan berkeupayaan untuk membuat penyiasatan yang begitu teliti, bebas dan telus.

“JKMR berpendapat kes 1MDB yang sedang disiasat oleh PPK merupakan satu kes yang amat penting dan serius demi kepentingan negara, maka berilah peluang mereka menjalankan siasatan dan menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abu Zahar berkata, JKMR akan meminta SPRM membentangkan secara terperinci kepada Parlimen apabila hasil siasatan PPK telah siap.

Beliau berkata, JKMR berasa amat terkilan dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu yang mendakwa siasatan dijalankan oleh PPK bertujuan untuk melindungi perkara sebenar.

“Dakwaan ini merupakan kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab, JKMR berpendapat ia merupakan satu fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali,” katanya.

Abu Zahar juga berharap agar semua anggota Parlimen tidak melupakan kenyataan semasa angkat sumpah pelantikan sebagai anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk taat setia kepada Malaysia dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

JKMR dianggotai tujuh Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, DAP, PKR dan Pas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");