Membawang Hari Ini
Like

HidayahMu Ramadan sarat pengajaran

July 2, 2015
512 Views
0 Comments
2 minutes read
HidayahMu Ramadan sarat pengajaran

SLOT Samarinda TV3 tidak pernah mengecewakan peminat setianya dengan naskhah khas dalam bulan Ramadan pada setiap tahun.

Terbaharu di TV3, saksikan HidayahMu Ramadan lakonan Zara Zya, Aeril Zafrel, Nazrief Nazri, Reen Rahim, Roy Azman, Sharifah Shahora, Kuza, Idris Mat Diah, Zarina Zainuddin, Rahim Omar, Mustaqim Bahadon, Zahirah Macwilson dan Aman Nassim yang telah mula menemui penonton sejak awal Jun lalu.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios Sdn Bhd, drama bersiri 17 episod ini diarahkan oleh Eoon Suhaimi, manakala Azlina Pa’wan bertindak selaku penulis skrip.

Menurut Eoon, drama HidayahMu Ramadan merupakan sebuah drama yang memaparkan konflik kekeluargaan, namun dalam masa sama membawa banyak mesej berguna dalam setiap episod untuk diteladani penonton.

“HidayahMu Ramadan bukan sebuah naskhah stereotaip yang mengangkat kisah cinta dan kekeluargaan semata-mata.

“Tetapi untuk setiap episod dan watak tertentu, saya selitkan beberapa pengajaran di mana mereka menerima hidayah dan ada moralnya untuk kita hayati bersama.

“Hidayah itu pula bukan sekadar atas nama semata-mata, tetapi perbuatan yang membawa kepada perubahan,” katanya kepada Zass.

Tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang mengarahkan drama ini, Eoon berkata, dia mendapat kerjasama yang cukup baik dari pihak produksi, mahupun para pelakon itu sendiri.

“Bila kita mahu buat sesuatu perkara yang baik, ia seolah-olah dipermudahkan dan Alhamdulillah saya tidak menghadapi sebarang cabaran dan dugaan berat sepanjang menyiapkan drama ini,” katanya.

Harap difahami

Tambah Eoon, apa yang menjadi harapannya adalah penonton memahami dan seronok menonton jalan cerita drama bersiri ini.

Namun dalam masa sama, dia berharap penonton dapat memahami apa itu hidayah.

“Saya persembahkan karya ini seikhlas mungkin dan harap ia akan memberi teladan dan hidayah kepada anda semua,” akhirinya.

HidayahMu Ramadan mengisahkan dua sepupu yang sangat rapat sejak kecil, Hidayah (Zara Zya) dan Nazir (Nazrief Nazri).

Perbezaan taraf hidup keluarga Hidayah dan Nazir, serta kelebihan ibu Hidayah, Halijah dalam memasak menyebabkan dua beranak itu cukup dibenci ibu Nazir, Mak Long Semah.

Dunia Hidayah mula berubah selepas ibu bapanya meninggal dunia. Pak Long Jalil dan Mak Long Semah tidak mahu menjaga Hidayah. Nazir berang dengan ibu bapanya tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Apakah yang berlaku seterusnya? Saksikan HidayahMu Ramadan menerusi slot Samarinda, setiap hari Selasa hingga Khamis jam 10 malam di TV3.

-Sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply