Isu Panas

Hudud: MCA Gesa DAP, PKR Nyata Pendirian Kerjasama Dengan GHB

KUALA LUMPUR: DAP dan PKR mesti menjelaskan pendirian mereka sama ada mereka akan bekerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GBH) jika hudud masih menjadi agenda, kata MCA.

Pengerusi Biro Publisiti MCA Senator Datuk Chai Kim Sen berkata walaupun menggambarkan dirinya sebagai PAS dalam versi lebih sederhana, GHB tidak menolak pelaksanaan hudud secara terbuka.

Ini, katanya, telah disahkan semula oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang juga ahli jawatankuasa kumpulan parti baharu itu yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang kalah dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Chai berkata, dalam satu temu bual dengan portal dalam talian baru-baru ini, Khalid dilaporkan berkata bahawa jika majoriti rakyat Malaysia menyokong hudud, maka mereka ‘tidak nampak bagaimana DAP mampu menghentikannya’.

“Ini adalah hujah sama yang digunakan oleh PAS dalam usaha mereka untuk melaksanakan hudud di Kelantan dan adalah seram sejuk apabila mendengar pemikiran yang hampir sama oleh GHB,” kata Chai.

Beliau mendakwa, kenyataan Khalid membuktikan kegagalan DAP dalam mempertahankan sekularisme Malaysia daripada PAS.

Chai mempersoalkan sama ada GHB akan menyokong Rang undang-undang (RUU) persendirian enakmen hudud Kelantan apabila dibahaskan di Parlimen.

“Ini mesti dinyatakan dengan jelas oleh parti itu,” katanya, sambil menambah DAP dan PKR, sebagai rakan kepada pergerakan baharu itu dan sebelum ini dengan PAS, mesti menyatakan jika mereka bersetuju dengan kenyataan Khalid.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak terpedaya dengan taktik GHB.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");