Sukan Hari Ini

Ijan terus tabur bakti demi takraw

TERSENARAI dalam skuad regu emas menewaskan Thailand pada Sukan Sea Manila 2005 adalah kenangan kejayaan paling bermakna dikecapi Mohd Normanizam Ahmad.

Normanizam yang ketika itu beraksi selaku tekong bergandingan dengan Mohd Putra Abdul Ghani, Mohammad Zulkarnain Mohamad Arif, Mohd Saifuddin Husin dan Mohd Azman Nasruddin nyata digeruni pihak lawan setiap kali turun beraksi.

Namun kini hampir 10 tahun, khidmat pemain kelahiran Kelantan ini terus memberikan impak kepada suasana sukan sepak takraw di negara ini.

Bermula di posisi pengumpan

Menceritakan kembali pembabitannya dalam sukan warisan ini, Normanizam atau lebih mesra dengan panggilan Ijan mula berjinak ketika berada di bangku sekolah rendah lagi.

“Asalnya posisi saya adalah pengumpan kemudian beralih posisi kepada tekong dan ia semakin serasi dengan corak permainan saya.

“Dari situ saya mula belajar dari bawah untuk memperbaiki servis ketika latihan atau riadah bersama rakan.

“Permainan sepak takraw ini berbeza dengan sukan lain kerana jika kita tidak membuat latihan, kesukaran akan dialami terutamanya menimang bola dan melakukan servis,” jelasnya yang kini masih aktif beraksi bersama pasukan Kerinchi menyertai pelbagai kejohanan.

Detik paling mengecewakan

Namun di sebalik kejayaan manis dikecapinya, terpalit juga kekecewaan apabila digugurkan daripada skuad elit kebangsaan pada 18 Disember 2010.

“Saya bersama Mohd Futra Abd Ghani, Mohd Zulkarnain Ahmad, Azman Nasruddin dan Mohd Shamsul Asraf Roslee digugurkan daripada skuad elit sepak takraw kebangsaan selepas gagal menunjukkan peningkatan dalam permainan selain dikatakan tidak berdisiplin.

“Siapa yang tidak kecewa dan sedih apabila dikenakan tindakan tanpa surat dan hanya alasan tidak berdisiplin,” katanya yang menganggap detik pahit dalam kerjayanya.

Malaysia terus ketinggalan

Mengulas perkembangan sepak takraw pada masa kini, Ijan melihat Malaysia jauh ketinggalan dengan pasukan lain terutamanya Thailand selain Myanmar, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam dari segi pembangunan.

“Begitu ketara dengan Thailand, belum lagi Korea Selatan yang mempamerkan keyakinan tinggi serta pembangunan dalam sukan takraw ini.

“Dengan kata lain kita jauh ketinggalan dan sudah pastinya sesuatu perlu dilakukan untuk terus memastikan Malaysia disegani di persada dunia,” ujarnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");