Jenayah

Isteri Jadi Heroin Pukul Penyamun

JEMPOL: Berang kerana melihat suami ditetak, seorang isteri bertindak mencapai sebatang besi lalu memukul sekumpulan penjenayah yang cuba menyamun sebuah rumah didiami tiga beranak di Felda Palong 6, di sini, kelmarin.

Malah tindakan wanita berusia 58 tahun itu juga menyebabkan lima lelaki bertopeng berkenaan terus melarikan diri tanpa sempat menggeladah rumah tersebut dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kelima-lima lelaki itu memasuki rumah yang didiami wanita berkenaan bersama suami dan anak lelaki masing-masing berusia 62 dan 26 tahun ketika ketiga-tiga beranak itu sedang tidur di bilik.

“Mangsa dikejutkan dengan bunyi kerusi jatuh di bahagian dapur lalu bangun dan keluar untuk meninjau keadaan sebelum mereka dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki berbadan tegap dan bertopeng muka.

“Tidak lama kemudian, anak lelakinya keluar dari bilik namun kemudian diheret suspek ke luar rumah melalui pintu belakang,” katanya ketika mengesahkan laporan, semalam.

Hamzah berkata, suspek bertindak memukul anak wanita terbabit menggunakan kayu getah sebelum terlihat suaminya cedera ditetak menggunakan parang.

“Wanita terbabit terus mencapai sebatang besi berhampiran dan dalam keadaan kelam-kabut memukul suspek namun tidak dapat dipastikan berapa orang yang dipukul.

“Kesemua lelaki yang dipercayai warga asing itu kemudian melarikan diri ketika mangsa menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kerugian membabitkan harta kerana suspek tidak sempat menggeledah kediaman tersebut.

“Bagaimanapun, suami wanita terbabit yang cedera di bahagian pergelangan tangan kiri menerima 12 jahitan selepas mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Palong 4,5 & 6.

“Polis kini sedang memburu suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 393 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");