Jenayah

Jalan licin punca nahas

BOTA – Keadaan jalan yang licin terutama setiap kali hujan mendatangkan kebimbangan buat penduduk Felcra Nasarudin yang melalui laluan di hadapan sebuah kilang sawit, dekat sini.

Lebih membimbangkan lagi apabila kemalangan jalan raya kerap berlaku di kawasan itu.

Terbaharu, satu kemalangan berlaku melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik seorang penduduk terbalik di jalan berkenaan.

Mangsa, Ahmad Nor Rani Peai, 53, berkata, dia gagal mengawal kenderaannya ketika melalui jalan itu menyebabkan ia terbalik.

“Kejadian baru saja berlaku awal minggu lalu. Waktu itu keadaan jalan licin disebabkan basah selepas hujan.

“Saya hanya memandu 30 kilometer sejam saja kerana sebelum ini juga saya hampir terlibat kemalangan namun masih dapat kawal kereta. Tapi kali ini nasib tak menyebelahi saya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil serius masalah itu dan mengambil tindakan lanjut agar tidak berlaku lagi kemalangan di situ.

“Dah banyak kenderaan yang terlibat kemalangan di jalan itu terutama di laluan yang menghala keluar dari Felcra Nasarudin.

“Malah, tumpahan minyak dari lori sawit yang keluar masuk dari kilang juga menyebabkan jalan bertambah licin,” katanya.

Penduduk, Yusof Mat, 60, berkata, sudah ramai yang menjadi mangsa kemalangan di situ.

Menurutnya, penduduk harus lebih berhati-hati ketika melalui jalan di situ terutama ketika hari hujan.

“Lebih kurang 100 meter jalan ini ditumpahi minyak dari lori yang keluar masuk ke kilang sawit dekat sini.

“Bila minyak tumpah, jalan jadi licin. Saya sendiri pernah terjatuh ketika menaiki motosikal di sini,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera terhadap permasalahan itu kerana ia melibatkan nyawa penduduk.

“Sebenarnya masalah ini boleh diatasi jika pihak berkenaan membuat pemantauan dan melakukan pembersihan seminggu sekali di jalan itu.

“Besar harapan kami agar perkara itu dapat diselesaikan dengan segera kerana kami tidak mahu lagi ada yang menjadi mangsa,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");