Perak Hari Ini

Jihad Perangi Orang Tengah: Kementerian Kaji Nelayan Tidak Guna Dana Yang Diperuntukan

IPOH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat kajian berhubung dana yang telah diperuntukan oleh kementerian kepada nelayan untuk mengambil alih hutang mereka daripada orang tengah.

Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak kementerian telah memberikan sebanyak RM50 juta kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan juga Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk tujuan berkenaan.

“Kementerian telah menyediakan dana, tabung kepada NEKMAT dan TEKUN untuk menebus nelayan-nelayan yang berhutang dengan orang tengah ini, dengan cara paling mudah iaitu melaporkan kedudukan mereka (nelayan) kepada persatuan mereka.

“Persatuan ini akan memberi tahu pihak kementerian dan kita akan menebus nilai hutang mereka itu,” katanya.

PERAK TODAY 1

Beliau berkata, nelayan tidak menggunakan peluang yang disediakan berkenaan dengan sebaik-baiknya tetapi membiarkan diri mereka terus dibelenggu dengan hutang kepada orang tengah terbabit.

“Yang hairannya tidak ramai yang datang untuk mendapatkan bantuan melalui tabung yang telah disediakan dan setakat ini kurang daripada lima peratus sahaja yang telah dimanfaatkan oleh golongan nelayan ini.

“Saya tidak tahu apa masalahnya yang menyebabkan mereka ini lebih suka… lebih rela untuk terus dibawah cengkaman orang tengah ini,” tegasnya.

PERAK TODAY 8

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada nelayan agar terlibat dalam pelbagai industri berkaitan dengan perikanan dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti menangkap ikan sahaja.

“Nelayan diseru untuk melibatkan diri dalam rantaian nilai industri perikanan termasuklah memproses produk-produk yang berasaskan ikan menjadi produk seperti ikan kering, ikan pekasam, bebola ikan dan juga sebagainya.

“Ia merupakan strategi yang perlu ditekankan dan dijayakan kalau nelayan hendak mengubah nasib mereka,” jelas beliau lagi.

PERAK TODAY 2

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat Negeri Perak yang diadakan di Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ismail Abu Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datu Azini Mohd Shahid, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Dr Bah Piyan Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Dalam majlis tersebut, seramai 424 orang nelayan darat di seluruh negeri Perak telah menerima elaun sara hidup berjumlah RM200 sebulan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM508,800.

PERAK TODAY 4

Tajuddin berkata, nelayan-nelayan darat berkenaan akan menerima bayaran buat kali pertamanya berjumlah RM1,200 bagi tempoh enam bulan.

“Ianya merupakan bayaran elaun sara hidup bagi bulan Januari sehingga Jun 2015 dan hanya nelayan yang benar-benar layak serta berdaftar akan menerima elaun berkenaan,” katanya.

Ujarnya, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 4,128 orang nelayan darat yang telah berdaftar dan dikategorikan sebagai nelayan darat tulen di seluruh negara.

PERAK TODAY 10

Dalam majlis itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin turut menyampaikan Geran Transformasi Pendidikan Anak-anak Nelayan Darat dan Latihan Keusahawanan Nelayan Negeri Perak berjumlah RM50,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");