Jenayah

Kantoi helah menyamar adik-beradik

ALOR SETAR – Sepasang pelajar sekolah sanggup menyamar adik-beradik demi mengelakkan diri mereka dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam Ops Ramadan, kelmarin.

Ketika disoal, mereka yang mendakwa sebagai adik-beradik memaklumkan terpaksa menyewa di hotel selepas keluar rumah.

Malah, mereka sanggup menipu keluar rumah semata-mata demi melepaskan tekanan memandangkan tidak tahan melihat ibu bapa bergaduh.

Bagaimanapun, helah dua pelajar masing-masing berusia 17 dan 16 tahun akhirnya terbongkar apabila diminta menunjukkan kad pengenalan.

Melalui soal siasat selanjutnya, pelajar lelaki seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pasangannya dikenal pasti tidak memiliki hubungan pertalian sebagai adik-beradik.

Dalam serbuan berasingan pula, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga suami orang dicekup bersekedudukan dengan seorang wanita warga Indonesia.

Difahamkan, mereka berdua ditahan kerana menginap berdua-duaan dalam bilik sehingga mendatangkan syak, padahal didapati tidak mempunyai hubungan suami isteri yang sah.

Lebih memalukan, lelaki dan wanita yang ditahan terbabit masing-masing sudah mempunyai anak.

Dalam serbuan itu, mereka antara tujuh pasangan berusia 16 hingga 35 tahun yang ditahan dalam operasi dilakukan kira-kira 25 anggota penguatkuasa Jaik di hotel sekitar bandaraya Alor Setar.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, semua mereka dipercayai mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bermoral itu ketika umat Islam lain sibuk membuat amal ibadat dengan kedatangan Ramadan.

“Mungkin mereka anggap pihak berkuasa tak memantau ketika Ramadan dan sebab itu mereka berani berdua-duaan.

“Malah, wanita warga Indonesia yang ditahan itu tidak sepatutnya menyalahgunakan kesempatan mencari rezeki di sini dan pada masa sama melakukan maksiat,” katanya.

Mereka yang disyaki berkhalwat disiasat di bawah Sekyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");