Jenayah

Kebakaran: Jeritan ibu selamatkan dua anak

TASEK GELUGOR – Jeritan seorang ibu mengenai kebakaran yang berlaku di sebuah rumah panjang menyelamatkan nyawa dua anaknya yang sedang menonton televisyen dalam kejadian di Taman Seri Desa, di sini petang semalam.

Faizah Md Saad, 34, berkata dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, beliau sedang memasak untuk juadah berbuka puasa apabila tiba-tiba api di dapurnya menyambar dinding rumah dan beberapa barangan lain di bahagian dapur.

“Saya terkejut dan terus menjerit menyuruh dua anak saya yang sedang berehat dan menonton televisyen keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api marak dengan cepat ketika itu.

“Kebakaran itu merebak dengan cepat dan dalam masa tidak sampai dua minit asap sudah memenuhi ruang rumah kami, nasib baik saya dan anak-anak sempat keluar dari rumah serta menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya yang menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa kebakaran itu di sini, hari ini.

Faizah berkata semasa kejadian, suaminya Bahari Musa, 48, berada di tempat kerja di Kampung Selamat, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka dan beliau terus menghubunginya.

Katanya sebahagian rumahnya termasuk sebuah bilik dan baju raya anak perempuan mereka Nor Ismah Izati, 12, hangus terbakar dalam kejadian itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");