Sukan Hari Ini
Like

Kelantan enggan kempunan lagi

July 28, 2015
37 Views
0 Comments
2 minutes read
Kelantan enggan kempunan lagi

SELEPAS misi meraih tiga mata ke atas Sime Darby FC tidak kesampaian, Kelantan tidak mahu kecewa lagi apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pemangku Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menegaskan pertemuan menentang The Gladiators cukup penting dan menjadi isyarat buat pemainnya untuk mencipta kebangkitan selepas gagal menewaskan Sime Darby.

Menurutnya, aksi menentang Sime Darby tempoh hari jelas membuktikan barisan pemainnya mampu untuk bersaing dan tidak mustahil skuad kendaliannya mampu menundukkan ATM, sekali gus menebus kekecewaan terdahulu.

“Seperti saya beritahu sebelum ini, setiap perlawanan seumpama pentas final bagi Kelantan dan misi utama kita masih kekal relevan iaitu mahu mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk keluar daripada kelompok pasukan terbawah liga.

“Memang sedikit terkilan apabila kempunan untuk mengutip mata penuh ketika bertemu Sime Darby dan saya harap kegagalan itu memberi pengajaran kepada semua pemain dalam pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pengendali berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengakui, misi untuk melakar kemenangan bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, apatah lagi dia berdepan kesukaran berikutan pasukannya dihimpit masalah kecederaan pemain.

Menurutnya, selepas Austin Amutu, Mohd Farisham Ismail, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Nazri Ahmad dan Mohd Khairul Izuan Rosli terpaksa disisihkan, terbaharu tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pula menyertai rakan-rakannya berada dalam senarai kecederaan itu.

“Saya bukanlah seorang jurulatih yang suka meraih simpati tetapi inilah hakikat sebenar yang perlu semua orang tahu, bukan satu tugas mudah untuk menyediakan pasukan ketika begitu ramai pemain ditimpa kecederaan.

“Apa pun, saya tidak mahu jadikan perkara itu satu alasan untuk menutup kelemahan pasukan. Kita akan kerahkan segala kudrat yang ada untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata malam esok (ini),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan ATM, Zahasmi sekali lagi menegaskan, Kelantan tidak akan memandang rendah kemampuan skuad kendalian Abdul Hamid Ramli itu, meskipun mereka berada di tangga kedua tercorot liga.

“Semua pasukan wajar kita hormati tak kiralah pasukan itu berada di tangga ke berapa sekali pun. Bagi saya, ATM merupakan pasukan yang kuat dan mereka juga mampu mencipta kejutan pada pertemuan ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply