Sukan Hari Ini

Kemenangan hasil percaturan penolong jurulatih

SELEPAS kekalahan demi kekalahan dicatatkan, pasukan bola sepak Terengganu akhirnya bangkit menempa kejayaan dengan mengatasi Sarawak 4-2 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Kemenangan itu memberi suatu kelegaan kepada pasukan Terengganu terutamanya ketika tekanan semakin memuncak berikutan prestasi semasa pasukan itu yang jatuh merudum selepas tewas dalam enam perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Individu yang paling lega dengan kemenangan itu ialah penolong jurulatih, Ahmad Yusof yang baru sahaja mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu buat sementara waktu selepas permohonan pengendali pasukan, Abdul Rahman Ibrahim untuk bercuti diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) baru-baru ini.

Ternyata, penglibatan Ahmad dimulai dengan ‘langkah kanan’ apabila percaturan taktikalnya dalam perlawanan itu dilihat menjadi walaupun pasukannya dikejutkan dengan gol awal pelawat seawal minit ketujuh perlawanan.

Menurutnya, corak dan rentak permainan yang ditunjukkan pasukan bimbingannya itu merupakan hasil gabungan ketua jurulatih pasukan dan beliau melakukan sedikit pertambahan taktikal.

“Taktikal kami sebenarnya lebih kurang sama, tapi saya gabungkan untuk membentuk suatu taktikal yang lebih baik. Apapun, legalah kerana semuanya menjadi malam ini dan kita berjaya memperoleh kemenangan tiga mata berharga,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini.

Beliau mengakui pada awal permainan agak tertekan dan tekanan yang sama turut dirasai oleh para pemain terutamanya kesebelasan utama yang diturunkan dalam perlawanan itu bagi mencatat kemenangan.

Gol-gol Terengganu dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Muhd Fakhrurazi Musa pada minit ke-23, Ismail Faruqi Ash’ari pada minit ke-33 dan 63 serta hasil jaringan sendiri pemain Sarawak iaitu Nyema Patrick Gerhardt pada minit ke-84 manakala kedua-dua gol Sarawak masing-masing dijaringkan oleh Ryan Alan Griffiths (minit ke-7) dan Ivan Fatic pada minit ke-53. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");