shadow

PETALING JAYA: Seorang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari PKR mendapati kisah mengenai wang 1MDB yang disiarkan dalam Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report sebagai sesuatu yang sukar untuk dipercayai.

Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata tiada syarikat yang secara rahsia akan memindahkan wang sebanyak US$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun seorang individu.

“Jumlah wang yang besar seperti itu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tidak mungkin tidak dapat dikesan,” katanya.

“Bank Negara akan menyedari transaksi tersebut,” kata beliau sambil menambah WSJ dan laman Sarawak Report mesti menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

“PAC tidak menerima sebarang laporan mengenai wang 1MDB yang melibatkan jumlah wang besar seperti itu. Siasatan kita pun belum mencapai tahap itu.”

Kamarul Baharin, yang merupakan salah seorang daripada 13 ahli PAC yang menjalan siasatan terhadap kontroversi 1MDB berkata panel itu tidak akan bergantung kepada laporan media dan dakwaan yang tidak disahkan di Internet sebaliknya berdasarkan fakta dan angka.

Seorang lagi anggota PAC Liang Teck Meng dari Gerakan memberi jaminan bahawa mereka akan menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap 1MDB.

Bagaimanapun, siasatan akan hanya dapat dilakukan setelah mendapat laporan Ketua Audit Negara Khamis depan.

“Kita tidak boleh hanya mendasarkan siasatan berdasarkan laporan audit KPMG dan Deloitte.

“Laporan Ketua Audit Negara akan menjadi dokumen rasmi yang kita akan rujuk. Tetapi orang ramai boleh yakin bahawa kami akan menjalankan penyiasatan terperinci.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya membuat kesimpulan terhadap maklumat yang tidak disahkan yang sedang berlegar di media sosial,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

-mstar

Komen & Pendapat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *