Panasnya Hari Ini

Laksana Tanggungjawab, Segera Selesaikan Isu 1MDB -Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggugurkan nama Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ia telahpun diputuskan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan telah pun ditetapkan dan perkara yang paling penting untuk dilakukan adalah menyegerakan penyelesaian isu 1MDB yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini.

Ujarnya, walau sesiapa pun yang dilantik untuk mengisi jawatan sebagai Peguam Negara itu perlu memikul amanah yang diberikan dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

“Harapan saya, siapa sahaja menggantikan beliau (Gani) itu bukan sahaja meneruskan tanggungjawab yang besar ini, tetapi juga dapat menyegerakan apa-apa sahaja tindakan dari sudut undang-undang yang perlu dilaksanakan,’ katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata lagi, ia bertujuan untuk memberi jawapan yang paling tepat berhubung isu 1MDB kepada rakyat yang telah menanti untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu tersebut untuk sekian lama.

“Ini supaya rakyat yang menunggu apakah sebenarnya disebalik cerita 1MDB itu dapat jawapan yang muktamad.

“Lebih penting daripada itu, adakah kesalahan-kesalahan yang berlaku supaya segala persepsi yang berbangkit mengenai 1MDB ini dapat dijelaskan dan tidak ada keraguan sedikit pun.

“Jadi tanggungjawab sesiapa sahaja yang jadi Peguam Negara ini, saya fikir amat besar sekali dan saya harap beliau dapat menjalankan tugas, diberikan apa sahaja sokongan, bantuan termasuklah daripada agensi-agensi penyiasat yang lain,” tegas beliau lagi.

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyatakan bahawa khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail telah ditamatkan pada 27 Julai berikutan masalah kesihatan.

Namun, Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Oktober 2015.

Sementara itu, jawatan yang telah dikosongkan tersebut telah diisi oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuatkuasa pada 27 Julai 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");