Isu Panas

Lebih baik Harapan Baru sertai PR

KUANTAN – Tidak akan timbul masalah sekiranya Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) ingin menyertai Pakatan Rakyat (PR) apabila parti baharu itu akan ditubuhkan pada 14 September depan.

Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, penyertaan parti itu dalam PR hanyalah untuk memastikan PR akan terus kuat dan kukuh dalam mengharung arus politik di negara ini.

“Ini adalah pandangan peribadi saya dan ia tidak membabitkan sebarang keputusan daripada PKR pusat.

“Bagi saya Harapan Baru mungkin boleh menyertai PR sekiranya mereka mahu bergabung atau bersatu atas dasar dan perjuangan yang sama iaitu mencari keadilan,” katanya.

Fauzi berkata, beliau lebih selesa sekiranya keempat-empat parti itu terus dikekalkan berada di bawah satu bumbung dalam PR.

“Lebih elok rasanya kalau Pas, DAP, Harapan Baru dan PKR berada bersatu dalam satu gabungan dan kita mencari titik persamaan dengan menetapkan satu prinsip dan perjuangan sama.

“Kalau ada titik persamaan itu, saya percaya PR boleh menjadi sebuah parti yang kuat. Saya juga yakin apabila perjuangan sama diamalkan oleh parti dalam PR, tidak perlu banyak parti untuk diwujudkan,” katanya.

Bagaimanapun, Fauzi meminta agar Pas dan DAP menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka secara baik dan terbuka serta bersama-sama agar dapat mencapai titik persamaan itu.

“Bukan Pas dengan DAP sahaja perlu diselesaikan perbezaan mereka, tetapi Pas dengan Harapan Baru perlu ada persefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan Harapan Baru, Fauzi berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, individu atau kumpulan berhak menubuhkan parti.

“Itu hak mereka untuk melakukan apa sahaja termasuk menubuhkan sebuah parti baharu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sekiranya Pas tidak mahu berada di dalam PR, parti itu boleh bergerak sendiri untuk memperjuangkan dasar mereka.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");