Jenayah
Like

Lelaki maut tersepit dalam van

July 1, 2015
100 Views
0 Comments
2 minutes read
Lelaki maut tersepit dalam van

GERIK – Seorang lelaki maut apabila tersepit dalam van dipandunya selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 60, berhampiran simpang Kenering, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, Loh Kwee Meng, 45, beralamat di Kuala Lumpur maut serta-merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superitendan Jamalani Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu lori yang datang dari arah Kuala Kangsar gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke arah kanan jalan sebelum cuba memasuki laluannya semula.

Menurutnya, berikutan itu, van yang dipandu mangsa dari arah Gerik cuba mengelak ke kanan sebelum terbabas dan bertembung dengan lori yang masuk semula ke arah kiri.

“Akibat daripada pertembungan tersebut, mangsa tersepit di bahagian hadapan van dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala kereta yang berada di belakang van tersebut cuba mengelak namun gagal sebelum merempuh bahagian belakang van,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jamalani berkata, penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori dan kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Razman Zakaria berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah van, sebuah lori serta sebuah kereta

Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati salah seorang mangsa yang tersepit di dalam van telah meninggal dunia dan disahkan oleh pihak hospital.

“Kita kemudiannya cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit itu dan memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap dalam kenderaan lain.

“Anggota terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

“Operasi mengeluarkan mangsa tersebut mengambil masa satu jam dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.40 tengah hari,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply