Laporan Eksklusif
Like

Mahathir Persoal Sikap Memilih LHDN Ketika Lakukan Siasatan

July 4, 2015
57 Views
0 Comments
3 minutes read
Mahathir Persoal Sikap Memilih LHDN Ketika Lakukan Siasatan

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersikap memilih ketika melakukan siasatan.

Mahathir berkata, LHDN dilihat membuat serbuan ke atas orang yang diluar kemampuan dan memaksa mereka untuk membayar cukai tambahan sekiranya pelakunya tidak membayar cukai penuh mengikut kekayaan mereka.

“Rakyat Malaysia dengan rela hati membayar cukai kerana mereka takut tindakan undang-undang diambil terhadap mereka. Mereka lebih takut lagi jika serbuan dibuat ke atas perniagaan dan kediaman mereka oleh pihak berkuasa cukai pendapatan.

“Saya tahu ini kerana saya diserbu apabila saya dipecat daripada parti dan bekerja sebagai seorang pengamal perubatan,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya, chedet.cc, pada Jumaat.

Katanya lagi, sikap memilih LHDN semakin ketara sejak kebelakangan ini.

“Sebagai contoh, anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dilaporkan telah membelanjakan beratus-ratus juta USD atau Ringgit untuk membeli kediaman mewah di London, New York dan Hollywood.

“Beliau juga turut dilaporkan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi membiayai pengeluaran filem ‘The Wall Street Wolf’,” tulisnya.

Mahathir turut mempersoalkan daripada mana datangnya wang yang digunakan oleh Perdana Menteri.

“Apabila Pejabat Perdana Menteri mendakwa inilah wang yang diwarisi, saudara-saudara Najib membantah. Bapa mereka tidak kaya dan tidak meninggalkan beratus-ratus juta Ringgit untuk keluarga.

“Malah Najib terpaksa mengakui bahawa Tun Razak tidak mempunyai wang sebanyak itu yang ditinggalkan kepada keluarganya. Jadi dari manakah wang ini datang?,” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan tentang dakwaan yang dibuat dengan menyatakan bahawa wang itu adalah daripada perniagaan.

“Jika dia telah membuat begitu banyak wang daripada perniagaan pasti beliau akan membayar cukai pendapatan. Sudahkah orang-orang cukai pendapatan siasat beliau mengenai keuntungan perniagaannya? Berapa banyak cukai telah dia bayar? Sudah tentuIah ini adalah rahsia. Tetapi saya berharap ini bukan satu penyelindungan (cover-up),” tegasnya.

Mahathir turut memberikan beberapa contoh lain yang mempersoalkan sikap memilih LHDN daripada melakukan pungutan cukai pendapatan.

“Jho Low didakwa membeli sebuah bank dengan harga US$260 juta. Dari mana beliau dapat wang ini, adakah ia dipinjam? Adakah dia telah menjual bank ini dan membayar cukai ke atas keuntungan.

“Saya percaya eksekutif-eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya dibayar gaji yang tinggi. Adakah mereka membayar cukai ke atas pendapatan mereka?,”soalnya lagi.

Di akhir penulisan beliau, beliau turut menegaskan bahawa untuk melaksanakan undang-undang tidak perlu ada sifat diskriminasi.

“Kita bercakap mengenai kesamarataan di sisi undang-undang. Di negara ini raja-raja pun tertakluk kepada undang-undang tertentu. Ia adalah intipati keadilan.

“Kita mesti sama rata di sisi undang-undang dan kita perlu dilihat sama rata. Setiap orang yang perlu disiasat oleh agensi-agensi Kerajaan mesti disiasat dan tidak boleh ada diskriminasi,” tambah beliau lagi

Komen & Pendapat

Leave a Reply