Berita Hari Ini

Malaysia, UK perbaharui komitmen tingkat kerjasama

PUTRAJAYA – Malaysia dan United Kingdom akan memperbaharui komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor utama seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertahanan.

Bersempena lawatan sehari Perdana Menteri Britain, David Cameron ke Malaysia,? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat perwakilan dengan rakan sejawatnya di pusat pentadbiran negara hari ini.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata Malaysia dan United Kingdom berminat untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan pada masa akan datang.

Dengan jumlah dagangan yang meningkat pada kadar dua peratus setahun untuk 10 tahun terakhir, dan jumlah dagangan tahun lepas bernilai RM17 bilion, ia berkata momentum itu menjadi asas mengukuhkan perdagangan.

“Dari sudut pelaburan, kedua-dua pemimpin mengiktiraf penglibatan Malaysia dalam Projek Stesen Janakuasa Battersea yang telah menarik minat ramai. Bernilai RM41 bilion, ia adalah bukti kebolehan syarikat Malaysia untuk memenuhi piawaian global,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, United Kingdom turut mempunyai pelaburan di Malaysia bernilai RM15.4 bilion setakat ini dalam pelbagai sektor seperti peruncitan, farmaseutikal serta minyak dan gas, katanya.

Dari segi perdagangan, Wisma Putra berkata kedua-dua negara berminat meningkatkan dagangan pada masa akan datang.

Ia juga berkata Najib turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat British untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia.

Kedua-dua perdana menteri bersetuju bahawa pendidikan adalah salah satu daripada tonggak kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom.

“Setakat ini terdapat lebih daripada 17,000 penuntut Malaysia yang mengikuti pelbagai kursus di United Kingdom,” katanya.

Wisma Putra berkata Najib juga mengalu-alukan tawaran United Kingdom untuk membantu meningkatkan pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah awam Malaysia.

Ia berkata United Kingdom juga melancarkan promosi “Tahun Hebat untuk Pendidikan” yang menjadikan Malaysia hab untuk menggalakkan pendidikan British di rantau Asean.

Wisma Putra berkata Najib juga mengalu-alukan inisiatif itu, yang menandakan pengiktirafan United Kingdom terhadap Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.

Menyentuh kerjasama pertahanan, Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor penting ini.

Katanya kedua-dua pemimpin juga membincangkan beberapa isu serantau dan antarabangsa, menyentuh ancaman IS dan keganasan yang kian meningkat.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju komuniti antarabangsa perlu menangani ancaman itu secara efektif kerana kumpulan pengganas menyasarkan belia menerusi media sosial.

Malaysia berminat meneroka kaedah kerjasama dengan United Kingdom dan rakan antarabangsa lain untuk menentang keganasan,” katanya.

Wisma Putra berkata Cameron mengalu-alukan minat Malaysia dan mengiktiraf inisiatif kesederhanaan Malaysia dalam menangani ekstremism.

Dalam perbincangan mengenai keputusan undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai resolusi mengujudkan sebuah tribunal antarabangsa untuk nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines, Wisma Putra berkata Najib berterima kasih kepada Cameron atas sokongan United Kingdom kepada inisiatif Pasukan Siasatan Bersama.

“Cameron mengulangi sokongan berterusan United Kingdom terhadap usaha antarabangsa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan, ” katanya.

Selain pertemuan dua hala, Najib turut meraikan Cameron dalam satu jamuan makan malam yang turut dihadiri menteri-menteri, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin perniagaan daripada kedua-dua pihak.

Cameron turut menghadiri beberapa majlis berkaitan perniagaan di Kuala Lumpur anjuran Suruhanjaya Tinggi British.

Wisma Putra berkata lawatan ini merupakan lawatan kedua Cameron ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun selepas lawatan rasminya pada April 2012. Cameron adalah Perdana Menteri pertama British yang melawat Malaysia berturut-turut dalam tempoh dua penggal. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");