Sukan Hari Ini

MHC Teruskan Rancangan Penstrukturan Semula – Subahan

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan meneruskan rancangan penstrukturan semula skuad negara demi masa depan pasukan itu, kata presidennnya Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurutnya, rancangan itu sudah dibuat sebelum skuad jolokan ‘The Speedy Tigers’ berlepas ke Antwerp, Belgium, dan diberi peluang membuktikan kemampuan mereka di kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (HWL) yang berakhir pada Ahad.

“Walaupun mereka memberikan yang terbaik, harus diakui ia masih tidak cukup.

“Kita sudah cuba melakukan perubahan dalam masa sebulan. Kita sudah begitu hampir tapi gagal mencapainya. Ia cukup mengecewakan kerana masih terpaksa menunggu (untuk layak ke Sukan Olimpik Rio),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Subahan, semua pihak perlu menerima hakikat akan ada perubahan demi kebaikan hoki negara kerana MHC mahu skuad ‘The Speedy Tigers’ layak ke Sukan Olimpik 2020 atas dasar merit, bukannya ikut pintu belakang.

Peluang Malaysia cukup tipis untuk ke Sukan Olimpik Rio selepas menamatkan kempen separuh akhir HWL di posisi keenam apabila tewas 4-1 kepada Ireland dalam perlawanan penentuan tempat ke-5/6 di di Antwerp, Belgium.

Kekalahan kepada Ireland, pasukan sama yang ditundukkan 4-2 dalam aksi kumpulan, menyaksikan skuad bimbingan Tai Beng Hai terlepas peluang kedua untuk mara ke Rio, selepas gagal melayakkan diri secara automatik apabila tunduk 2-3 kepada India di suku akhir.

Bulan lalu, Belanda, Jerman dan Argentina mengesahkan tiket ke Rio manakala Kanada yang menduduki tangga keempat dalam satu lagi aksi separuh akhir HWL yang dianjurkan Argentina, berada di tangga teratas senarai simpanan untuk temasya empat tahun sekali itu.

Sepanyol dan New Zealand, masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam di kejohanan itu. Satu-satunya peluang Malaysia tersenarai ke Brazil nanti adalah dengan mengharapkan ehsan pasukan lain iaitu Australia atau New Zealand menjuarai Piala Oceania, Argentina atau Kanada muncul juara Kejohanan Pan American.

Pada masa sama, Malaysia turut mengharapkan Jerman, Belanda, Great Britain atau Belgium memenangi kejuaraan Eropah serta Jawatankuasa Olimpik dan Persekutuan Sukan Afrika Selatan (Sascoc) kekal dengan keputusan tidak akanmenyertai acara itu di Rio.

Sebelum ini, Sascoc mengumumkan juara benua itu tidak akan beraksi di Rio,sekali gus bermakna ada dua slot kosong yang mampu memberi sisa-sisa harapan untuk Malaysia menyelinap masuk.

Malaysia terlepas peluang keemasan di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan apabila tewas kepada India di final dengan pemenang mendapat tiket automatik ke Rio.

Skuad negara mengharapkan peluang kembali ke pentas Olimpik selepas kemarau 15 tahun, dengan sekurang-kurangnya menduduki tangga keempat di Belgium.

Namun kini Malaysia terpaksa menunggu penuh debaran ehsan daripada pasukan lain.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");