Perak Hari Ini

Nafi Beri layanan Buruk Kepada Anwar

TAIPING: Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar hari ini menafikan dakwaan bahawa pihak penjara telah memberi layanan buruk terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa keluarga bekas ketua pembangkang itu tidak dilayan oleh pihak penjara ketika hadir untuk berjumpa dengan Anwar baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

Ujarnya, pihak keluarga Anwar tidak mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak penjara berhubung perjumpaan sempena Hari Raya Aidilfitri yang telah ditetapkan pada Hari Raya ketiga dan keempat.

“Kita telah uar-uarkan bahawa perjumpaan tersebut adalah hari raya ketiga dan keempat sebab setiap tahun daripada dahulu lagi pada raya ketiga dan keempat baru buat perjumpaan.

“Mereka (keluarga Anwar) tidak maghi (datang) raya ketiga dan keempat tetapi datang raya kelima… Kita layan jugalah, raya kelima pun, kita berikan perjumpaan seperti orang lain.

“Mereka yang tidak mengikut peraturan kita untuk berjumpa… lepas itu hendak dakwa kita tidak beri layanan,” tegasnya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Tambahnya, keluarga Anwar itu juga telah mengingkari arahan daripada pihak penjara dengan hadir pada Hari Raya pertama untuk berjumpa dengan bekas ketua pembangkang itu.

“Bila terjadi perkara tersebut, orang lain pun hendak lakukan perkara yang sama.

“Jadi kita tidak boleh berikan keistimewaan kepada dia (Anwar) pada raya pertama.. macam mana orang lain, mesti mereka hendak sama seperti itu,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata, semua pihak perlu bersikap profesional dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penjara.

“Kena profesionallah… kita tidak boleh bagi dia raya pertama kedua, orang lain raya ketiga keempat.

“Kita sebaik mungkin cuba laksanakannya secara profesional… Kalau kita bagi lebih kepada dia, orang lain pula mengadu kerana ramai lagi iaitu sebanyak 52,000 lagi yang ada di situ.

“Bila dia tidak ikut pada hari yang kita tidak benarkan, dia kata kita tidak berikan layanan baik, tidak boleh macam itu,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, tegas Zulkifli lagi, pihaknya tidak boleh menghalang Anwar untuk mengadakan protes terhadap pihak penjara berhubung perkara tersebut.

“Kita tidak boleh menghalang kalau dia hendak protes dan sebagainya kerana itu hak dia.

“Kita cuba layan sebaik yang mungkin… Kita sebagai Pegawai Penjara melayan manusia sebagai manusia mengikut hak-hak kemanusiaan dan kita tidak buat bukan-bukan,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengenakan pakaian serba putih penjara ke mahkamah semalam sebagai tanda protes terhadap layanan yang diberikan oleh Jabatan Penjara terhadap beliau.

Ia juga susulan layanan pihak berkuasa khususnya pihak penjara yang diterima sewaktu lawatan yang dilakukan ahli-ahli keluarga terdekat beliau di penjara sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");