Jenayah

Nelayan asing ditemui lemas

SUNGAI BESAR – Seorang nelayan warga Myanmar yang hilang selepas terjatuh dari bot nelayan dinaikinya malam kelmarin ketika menuju ke jeti tambatan bot di muara sungai berdekatan Jalan 3 Bagan Sungai Besar, ditemui lemas, semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Rani Mat Hanafiah berkata, mayat mangsa yang dikenal sebagai Arab, berusia lingkungan 20-an ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan terapung pada jam 1.45 petang iaitu kira-kira 150 meter dari tempat mangsa terjatuh dari bot terbabit.

“Mangsa bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke jeti, bagaimanapun terdapat sebuah bot nelayan tiba-tiba bergesel dengan bot terbabit menyebabkan mangsa yang berada di bangsal bot terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Rani berkata, terdapat rakan memberitahu mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memaut pada tali bot setelah terjatuh, bagaimanapun usaha nelayan terbabit buntu apabila mangsa tidak ditemui.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat itu bermula kelmarin melibatkan 21 anggota keselamatan terdiri daripada Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Bomba Sukarela Sungai Besar.

“Operasi bermula sejak kami terima panggilan semalam (kelmarin), bagaimanapun akibat cuaca gelap menyebabkan kita menghentikan operasi mencari dan menyelamat sementara dan hari ini operasi diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa yang ditemui ini kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Mejar Bersekutu Pertahanan JPAM, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 11.30 malam kelmarin, bagaimanapun menggerakkan usaha membantu dan menyelamat pada pagi semalam.

Menurut beliau, pihaknya menggerakkan lima petugas dengan menggunakan sebuah bot bagi mengesan mangsa yang dipercayai lemas di sungai terbabit.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");