Jenayah
Like

Nyaris maut treler terbakar

July 4, 2015
37 Views
0 Comments
1 minute read
Nyaris maut treler terbakar

GUNUNG SEMANGGOL – Seorang pemandu treler muatan barangan lusuh nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbakar di Kilometer 194.3 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan), malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu dikatakan masih sempat meneruskan perjalanan lebih satu kilometer sebelum menyedari kebakaran itu setelah dimaklumkan beberapa kenderaan yang memintasnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.16 malam sebelum bergerak ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, badan kenderaan terbabit sudah 60 peratus terbakar dan hasil kepantasan bomba api berjaya dipadamkan daripada terus merebak.

“Berdasarkan keterangan pemandu, dia tidak menyedari kebakaran itu dan terus memandu sehinggalah dimaklumkan beberapa pengguna jalan raya yang melihat api mula membakar belakang treler.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Anuar, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Bukit Merah menghala Kuala Kangsar sebelum melihat belakang sebuah treler terbakar.

“Saya bagi isyarat tapi pemandu treler itu tak sedar dan sebab bimbang, saya terus pintas sebelum beri isyarat supaya dia berhenti sebab api sudah marak.

“Treler itu mula berhenti di laluan kecemasan dan saya terus membuat panggilan kecemasan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply