Berita Hari Ini

Penjelasan di sebalik perjanjian TPP

MALAYSIA menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dari 28 hingga 31 Julai di Hawaii, Amerika Syarikat.

Mesyuarat ini adalah untuk memuktamadkan rundingan yang telah bermula sejak lima tahun lalu.

Walau bagaimanapun, tiada perjanjian yang akan ditandatangani di Hawaii. Saya ulangi: Perjanjian TPP tidak akan ditandatangani di Hawaii.

Seperti Malaysia, semua negara TPP yang lain juga perlu melalui prosedur dalaman di negara masing-masing sebelum membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian TPP.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas rundingan Malaysia dalam TPP, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan agar Perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar utama negara termasuk agenda Bumiputera terus terpelihara dan dipertahankan.

Objektif Malaysia dalam rundingan kali ini adalah untuk memastikan kepentingan negara telah diambil kira dalam rundingan akhir ini.

Pasukan perunding Malaysia yang saya ketuai dianggotai oleh wakil daripada lebih 20 kementerian dan agensi. Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia (BNM) mengendalikan rundingan berkaitan Bab Perkhidmatan Kewangan; Kementerian Kewangan merundingkan Bab Perolehan Kerajaan; Kementerian Sumber Manusia merundingkan Bab berkaitan Buruh, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam Bab Alam Sekitar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Bab Sanitari dan Fitosanitari; Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam Bab Dasar Persaingan serta Bab Hak Harta Intelek.

Pasukan ini dibantu oleh pegawai-pegawai undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara.

Pendirian yang diambil oleh pasukan perunding mengenai isu-isu yang dirundingkan dalam Perjanjian TPP juga adalah berdasarkan kepada maklum balas yang diterima dari pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan kefahaman umum mengenai Perjanjian ini, lebih 100 sesi taklimat dan perbincangan telah diadakan sejak beberapa tahun lalu. Sesi-sesi ini melibatkan ahli Parlimen, wakil industri, ahli akademik, pelajar, cleared advisors, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Lapan belas (18) bulan yang lalu, Kerajaan juga buat kali pertamanya mengambil langkah menubuhkan Kaukus Parlimen yang dianggotai oleh enam (6) ahli Parlimen Barisan Nasional dan lima (5) ahli parlimen daripada pembangkang.

Kaukus ini telah berbincang dan memberi maklum balas berguna untuk membentuk pendirian Malaysia dalam rundingan perjanjian ini.

Saya juga secara bersemuka telah berbincang mengenai Perjanjian TPP dengan beberapa individu serta pihak-pihak yang mempunyai pandangan berbeza terhadap Perjanjian ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan maklum balas, panduan dan kritikan berguna mengenai TPP.

Semua maklum balas ini telah banyak membantu pasukan perunding untuk mengukuhkan pendirian Malaysia dalam rundingan TPP. Izinkan saya berkongsi tentang enam kebimbangan mengenai Perjanjian TPP.

Kedaulatan Negara

Salah satu daripada kebimbangan yang dibangkitkan ialah mengenai peruntukan Investor-State Dispute Settlement (ISDS) yang dimasukkan di dalam Perjanjian TPP. Kritikan yang dibuat adalah bahawa peruntukan ini akan menggugat kedaulatan dan menghadkan ruang Kerajaan untuk menggubal dan melaksanakan dasar-dasar.

Saya ingin menjelaskan bahawa Perjanjian TPP tidak menghalang Kerajaan daripada menggubal dan melaksanakan objektif dasar-dasar awam, terutamanya berkaitan keselamatan negara, kesihatan awam, alam sekitar dan kebajikan.

Terdapat beberapa mekanisme kawalan sedang dirunding untuk mengatasi isu-isu utama termasuk mengelakkan daripada pelabur asing membuat tuntutan dan mencabar Kerajaan tanpa asas yang munasabah.

Tambahan pula, Kerajaan komited untuk memastikan agar dasar-dasar utama negara, termasuk kepentingan dan hak Bumiputera terpelihara.

Adalah penting diketahui ISDS sebenarnya bukanlah perkara baharu bagi Malaysia. Malaysia telah menandatangani 74 Perjanjian Pelaburan Dua Hala dan lapan FTA yang mengandungi peruntukan tersebut.

Walaupun skop ISDS dalam Perjanjian TPP adalah lebih luas, terdapat peruntukan jelas yang memastikan hak Kerajaan untuk mengawal dan mengelakkan tuntutan yang tidak munasabah. Kita perlu memahami bahawa sebenarnya peruntukan ISDS boleh digunakan oleh kedua-dua pihak.

Pelabur Malaysia di luar negara juga akan mendapat hak yang sama untuk memelihara kepentingan pelaburan mereka. Malah, sehingga akhir tahun lepas, nilai pelaburan Malaysia di luar negara telah melebihi jumlah pelaburan langsung asing di Malaysia.

Perolehan Kerajaan

Bagi isu perolehan Kerajaan, Malaysia mempertahankan keutamaan kepada Bumiputera dengan memastikan keutamaan sedia ada yang diberikan kepada Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikekalkan.

Kawalan Aliran Modal

Terdapat juga tuntutan atau kebimbangan bahawa Perjanjian TPP tidak akan membenarkan negara-negara untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan aliran modal.

Malaysia dan negara-negara lain yang berpendirian sama telah berjaya mempertahankan hak untuk memastikan terdapat fleksibiliti untuk mengambil langkah-langkah dasar bagi mengurangkan sebarang kesan ketidakstabilan aliran modal di samping mengekalkan kestabilan kewangan dan makroekonomi.

Ubat- ubatan

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan adalah dakwaan bahawa harga ubat-ubatan akan naik secara mendadak ekoran daripada perlindungan paten yang lebih ketat.

Hakikatnya, klausa perlindungan paten dalam Perjanjian TPP ini tidak banyak berbeza dengan peraturan yang sedia ada di Malaysia. Undang-undang Malaysia memperuntukkan perlindungan paten selama 20 tahun.

Di bawah Perjanjian TPP, negara-negara yang terlibat hanya perlu melanjutkan perlindungan paten sekiranya terdapat kelewatan tanpa sebab-sebab yang munasabah dalam proses kelulusan paten.

Kerajaan percaya bahawa proses kelulusan sedia ada adalah efisien dan tidak akan menyebabkan kelewatan tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Tambahan pula, harga ubat-ubatan bukan hanya ditentukan oleh perlindungan paten semata-mata. Beberapa faktor lain turut mempengaruhi seperti turun naik kadar matawang, kos penyelidikan dan pembangunan, perbelanjaan pemasaran dan amalan perolehan sedia ada.

Kerajaan menyedari sepenuhnya tentang keperluan untuk memastikan rakyat berkemampuan untuk mengakses kepada ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan telah mengambil pendirian untuk mengimbangi akses kepada ubat-ubatan dengan menyediakan insentif bagi pengeluaran ubat-ubatan baharu yang akan dijual di pasaran tempatan.

Akses pasaran

Perjanjian TPP juga memberi akses pasaran bagi Malaysia dengan negara-negara yang Malaysia tidak mempunyai FTA iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico dan Peru.

Bagi pasaran ini, di antara 2,000 hingga 4,000 tarif akan dihapuskan termasuk bagi produk di mana Malaysia mempunyai kepentingan eksport seperti produk elektrik dan elektronik (E&E); kayu dan produk kayu; tekstil; plastik dan produk plastik; minyak sawit dan produk minyak sawit.

Islam

Berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa Perjanjian TPP akan menjejaskan kedudukan Islam, saya memberi jaminan bahawa tiada sebarang peruntukan di dalam Perjanjian TPP yang boleh menjejaskan status agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Kerajaan tidak akan sama sekali membenarkan sebarang FTA menjejaskan perkara ini yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Sebagai contoh, ada dakwaan yang mengatakan bahawa perjanjian TPP akan menghalang Malaysia daripada terus menguatkuasakan syarat-syarat halal.

Dalam hal ini, pasukan perunding Malaysia telah berjaya meyakinkan pihak-pihak yang berkenaan bahawa syarat halal bukanlah satu bentuk halangan perdagangan dan ianya telah dipersetujui oleh negara-negara lain. Sehubungan itu, syarat-syarat halal dikecualikan daripada disiplin Perjanjian TPP.

Kerahsiaan

Terdapat rungutan umum bahawa Perjanjian TPP dirundingkan secara rahsia. Perlu dijelaskan bahawa dalam rundingan di peringkat antarabangsa, hanya teks rundingan sahaja yang tidak boleh didedahkan kepada
umum.

Sehingga kini, isu-isu dalam rundingan TPP telah dibincangkan secara terbuka bersama pihak-pihak berkepentingan.

Adalah bukan hasrat kerajaan untuk terus merahsiakan teks rundingan TPP. Sekiranya sebarang persetujuan dicapai, hasil rundingan akan dibentangkan kepada Parlimen untuk dibahas dan diumumkan kepada rakyat Malaysia sebelum
ditandatangani.

Kesimpulan

Selepas lima tahun rundingan TPP diadakan, kini rundingan TPP telah memasuki fasa terakhir.

Pada peringkat ini, semua negara TPP perlu membuat keputusan yang sukar. Seperti dalam rundingan-rundingan yang lain, terdapat konsesi yang perlu dibuat.

Kerajaan telah mengambil pendirian yang tegas dalam rundingan TPP: untuk memastikan Perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar utama seperti perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan agenda Bumiputera terus terpelihara.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk berfikiran terbuka mengenai Perjanjian TPP. Saya mengambil maklum bahawa walaupun rundingan ini mempunyai kos tetapi lebih memberi manfaat kepada Malaysia.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, maklum balas dari pelbagai pihak telah membentuk pendirian Malaysia dalam rundingan TPP.

Apa yang penting di sini, dokumen akhir perjanjian bersama dua kajian kos-faedah akan dibentangkan di Parlimen dan dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Keputusan sama ada menyertai Perjanjian TPP atau sebaliknya akan menjadi keputusan bersama rakyat Malaysia.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");