Podium pertama

Suzuka, Jepun: Yuki Ito yang bergelut dengan masalah prestasi sepanjang dua pusingan lalu akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama musim 2015 dalam saingan SuperSports 600cc pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (FIM) di Litar Suzuka, Jepun, semalam.

Pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha yang masih gagal meraih sebarang kedudukan podium musim ini akhirnya berjaya menamatkan penantiannya selepas mengungguli 13 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 32 minit 16.873 saat.

Pelumba itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga ke pusingan ketujuh untuk berada di kedudukan pertama apabila pendahulu perlumbaan, Yuki Takahashi (Musashi Boon Siew Honda) terjatuh sekalipun selesa hampir dua saat berada di hadapan seterusnya membuka ruang buat Ito untuk mendahului perlumbaan hingga ke garisan penamat.

Tempat kedua menjadi milik Tomoyoshi Koyama (T Pro Yuzy Honda NTS) dengan masa 32:24.233s manakala Noriyuki Haga (Team Kagayama Suzuki Asia) menghadiahkan podium pertama buat pasukannya dan juga pengeluar Suzuki selepas menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan masa 32:25.549s.

“Kemenangan ini bukan sesuatu yang mudah untuk saya. Dari peringkat awal saya cuba mengekori di belakang Takahashi yang jelas begitu pantas di sini.

“Namun, pada pertengahan perlumbaan, saya hampir terjatuh tapi masih berjaya mengekalkan kedudukan jentera dan menyebabkan saya sedikit ketinggalan kepada Takahashi.

“Selepas itu saya hanya cuba untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua namun tanpa disangka, Takahashi terjatuh ketika berbaki enam pusingan dan seterusnya saya berada di kedudukan pertama,” katanya.

Saingan Asia Production 250cc menyaksikan pelumba Jepun, Takehiro Yamamoto menebus kekecewaan sekadar naib juara di Indonesia apabila berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mengungguli perlumbaan dengan masa keseluruhan 22:03.084s.

Sementara itu dalam kategori Underbone 130cc, beraksi di litar basah memberi kelebihan buat Norizman Ismail apabila berjaya meraih kemenangan mudah selepas menamatkan enam pusingan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 18:33.199s.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu bersendirian ke garisan penamat, 11.353s di hadapan pencabar terdekat yang juga pendahulu keseluruhan, Gupita Kresna Wardhana (Manual Tech KYT Rextor) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 18:44.552s.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");