Jenayah

Polis nafi berlaku perlumbaan

SABAK BERNAM – Polis menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya dua kereta yang terbabas masuk ke dalam parit di Peket 100, Simpang Lima terlibat dalam perlumbaan seperti yang diviralkan di dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu, kereta Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki berusia 40-an bersama tiga anaknya dilanggar di bahagian belakang sebuah Toyota Vios.

Menurutnya, pemandu Toyota Vios berusia 50-an itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang Proton Saga menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit kiri jalan.

“Kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Sabak Bernam menghala ke Tanjong Karang, bagaimanapun pemandu Toyota Vios hilang kawalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya melanggar kereta di hadapannya,” katanya.

Nor Azmi berkata, hentaman kuat pada bahagian belakang Proton Saga menyebabkan kedua-dua kenderaan masuk ke dalam parit, bagaimanapun kesemua mangsa yang berdepan detik cemas itu selamat dalam kejadian berkenaan.

“Kami difahamkan kelima-lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” ujarnya.

Beliau berkata, kejadian berlaku sewaktu pemandu Proton Saga ingin pulang ke rumahnya di Peket 100, sementara pemandu Toyota Vios ingin menuju ke rumahnya di Tanjong Karang.

“Polis mengesahkan tiada sebarang perlumbaan membabitkan dua kenderaan terbabit hingga menyebabkan mereka terperosok ke dalam parit, sebaliknya hanya melibatkan kemalangan langgar belakang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya dalam kesibukan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, salah satu daripada faktor kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna sendiri, bagaimanapun perkara itu dapat diubah sekiranya semua pihak mengambil berat soal keselamatan di jalan raya.

“Banyak faktor yang menjadi punca kemalangan jalan raya. Salah satu daripadanya ialah kecuaian manusia itu sendiri seperti mengantuk.

Pada masa yang sama, Nor Azmi turut menasihati pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan yang mereka pandu dalam keadaan selamat kerana keadaan kenderaan yang tidak selamat juga menjadi punca kemalangan.

“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk dipandu dan paling penting perlu memikirkan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");