Perak Hari Ini

#Prihatin: Dugaan Uruskan Isteri Lumpuh

KUBU GAJAH: Seorang suami terpaksa mengupah seorang pembantu untuk menguruskan isterinya yang telah lumpuh semenjak empat tahun lalu kerana beliau tidak mampu untuk menguruskan isterinya sendirian.

Kamaruddin Yahya, 75 berkata, beliau membayar upah sebanyak RM150 sebulan kepada seorang penduduk kampung tersebut untuk menguruskan isterinya, Fatimah Abdul Wahab,73.

PERAK TODAY 6

“Saya dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, tapi saya bayar upah orang untuk uruskan isteri saya sebanyak RM150 sebulan.

“Saya tak kuat untuk uruskan isteri saya seorang diri sebab saya pun menghidap pelbagai penyakit,”katanya ketika wartawan Perak Today mengunjungi rumah beliau di Kampung Sangkut, di sini.

PERAK TODAY 5

Menurutnya lagi, beliau turut menghidap penyakit kencing manis, kolestrol tinggi dan juga kebas kaki tangan semenjak dua tahun lalu.

“Pembantu hanya datang sebelah pagi dan petang sahaja untuk mandikan, tukar lampin dan juga menyuap makanan kepada isteri saya.

“Saya turut membantu apa yang boleh sebab kudrat saya pun lemah,”katanya.

PERAK TODAY 3

Katanya lagi, meskipun mendapat bantuan daripada JKM, jumlah bantuan itu tidak mencukupi kerana wang itu turut perlu digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat dan juga makanan.

“Untuk menampung perbelanjaan, saya jual pisang yang ditanam di hadapan rumah, itu pun tak seberapa kerana kadang-kadang pisang itu dicuri atau dimakan monyet.

“Untuk lampin pakai buang sahaja, sebulan kadang kala mencecah sehingga RM200. Itu tak termasuk yang lain-lain lagi,”katanya.

Beliau yang juga bekas Askar Wataniah juga berkata, beliau hanya mempunyai seorang anak perempuan yang menetap di Manjung.

PERAK TODAY 2

“Anak saya dah berkahwin dan menetap di Manjung. Dia sekeluarga pun susah dan hanya dapat bantu sedikit sahaja setiap bulan.

“Dia pernah bantu saya untuk mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan syukur ianya dapat membantu serba sedikit,”ujarnya.

Ceritanya lagi, beliau tidak pernah memasak di rumah kerana membeli makanan yang sudah dimasak lebih murah berbanding masak sendiri.

“Saya cuma masak nasi sahaja dekat rumah. Lauk pauk semua sayabeli di kedai.

“Kalau saya nak masak sendiri, saya kena beli banyak barang masakan yang lain,”katanya.

PERAK TODAY 2

Beliau dan isteri yang telah menetap hampir 50 tahun di kampung tersebut turut berkata, kadangkala beliau terpaksa meninggalkan isterinya seorang diri kerana beliau perlu ke klinik untuk mengambil ubat.

“Saya perlu ke klinik setiap bulan untuk mengambil ubat diri sendiri dan terpaksa tinggalkan isteri saya seorang diri.

“Nak minta tolong orang datang tengokkan isteri saya, rumah saya ni di hujung kampung, jauh dari rumah orang lain. Kalau sudah tiba masa isteri saya pergi semasa saya tiada di rumah, saya redha,”ujarnya sambil menahan sebak.

PERAK TODAY 8

Ketika ditanya tentang sambutan Aidilfitri minggu lalu, beliau tanpa segan silu mengatakan tiada persiapan yang dibuat.

“Raya atau tidak, sama sahaja untuk kami berdua. Sudah banyak tahun kami tak sambut hari raya.

“Sambutan raya di rumah saya tak macam rumah orang lain. Kalau di rumah orang lain meriah dengan anak cucu, kereta penuh di laman rumah, tetapi suasana tersebut tiada di rumah saya,”katanya.

Ketua Kampung, Mohd Razali Baharum ketika ditemui berkata, beliau dan penduduk kampung turut prihatin dengan nasib yang menimpa kedua-dua warga emas tersebut.

PERAK TODAY 9

“Saya dan penduduk kampung di sini kerap menziarahi mereka dan menghulurkan sedikit sumbangan.

“Insya Allah, saya akan berusaha mencari ikhtiar lain untuk membantu bagi meringankan beban yang mereka hadapi,”katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyumbang ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), Kamaruddin Yahya (08221-41-00008271-2).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");