Membawang Hari Ini

‘Raya ni kurang ceria’

‘Rocker Malaya’ ini sentiasa ceria dan suka bergurau setiap kali bertemu wartawan. Bagaimanapun, tiada siapa merasai keresahan dan kesedihannya untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana berbeza tahun ini.

Pertama, ini kali pertama Awie, 46, meraikan Aidilfitri tanpa ibunda tercinta, Azizah Abdul Hamid yang menyahut panggilan Illahi pada Disember tahun lalu.

Kedua, Aidilfitri kali ini turut disambut tanpa dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Putri Qasseh Antasha, 5, yang kini bersama ibu mereka, Rozana Misbun.

Diajukan soalan ini, Awie tenang bercerita situasi yang bakal dilaluinya nanti.

Katanya, tahun ini dia mungkin akan menyambut Aidilfitri dengan Putra Ahmad Merrah, 8, saja kerana dua lagi anaknya Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13, mungkin akan bersama dengan ibu mereka, Arni Nazira.

“Namun, saya sedang berunding dengan Arni kerana jika boleh biarlah mereka beraya dengan saya terlebih dulu. Tahun lalu memang giliran mereka beraya dengan saya sebelum kembali pada ibunya.

“Tahun ini memang sepatutnya giliran mereka beraya dengan Arni terlebih dulu, cuma diharapkan ada pertimbangan daripada Arni terhadap saya,” katanya.

Awie berkata, dia akur sekiranya Arni tidak bersetuju dengan permintaannya, namun dia kasihankan Merrah yang terpaksa beraya sendirian.

“Saya tak sanggup lihat Merrah beraya seorang diri. Saya sendiri tak sanggup beraya seorang diri kerana boleh jadi macam-macam. Susah untuk terima hakikat itu.

“Saya tak pernah lagi berenggang dengan anak-anak setiap kali Aidilfitri. Apabila mereka tiada, apa nak saya buat? Silap-silap saya naik motor seorang diri pusing seluruh negara.

“Saya memang tak boleh duduk diam kalau fikirkan hal ini. Pada saya, kehidupan saya sebelum dan sehingga Aidilfitri adalah untuk anak-anak. Saya perlu ada mereka,” katanya.

Kenangan Aidilfitri

Awie mengakui susah menjangka apa yang akan berlaku terutama pada hari raya pertama nanti.

“Sekarang pun saya dah terasa syahdunya. Emak pun dah tiada dan dua anak pun tiada di sisi. Ini memang sesuatu yang menyedihkan.

“Saya belum pasti akan ke mana bersama Merrah. Selalunya setiap tahun saya akan bawa anak naik kereta pusing ke seluruh negara. Kadang-kadang kami ke Kelantan, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Anak pun suka dengan apa yang saya buat. Sewaktu ibu ada, hari pertama dihabiskan dengan dia. Sekarang saya akan pergi ke rumah kakak-kakak dan singgah rumah saudara-mara mana yang sempat,” katanya.

Bersama anak dahulunya, Awie lebih senang menginap di hotel kerana mereka suka berjalan ke merata-rata lokasi.

“Kadang-kadang saya bawa mereka ke rumah kawan-kawan. Memang beginilah kemeriahan kami anak beranak setiap tahun. Jadi, untuk tahun ini memang tiada rancangan apa-apa lagi.

“Persiapan untuk mereka pun tak buat kerana dua anak tak bersama saya. Biasanya setiap tahun kami pakai sedondon. Tapi sebab mereka tiada kali ini, saya tak nak buat apa-apa.

“Anak saya hanya beli baju biasa saja. Merrah pula sangat rindukan adik-adiknya. Setiap kali nampak duit syiling, dia pasti ingatkan Qasseh dan masukkan dalam tabung itu.

“Dia memang pengumpul duit syiling dan apabila saya letakkan syiling di mana-mana Merrah pasti akan ambil dan masukkan dalam tabung. Setiap kali dia nampak syiling pasti dia akan buat begitu,” katanya.

Awie berkata, Merrah juga seperti tidak ada ‘mood’ untuk beraya dan dia juga tak minta dibelikan bunga api.

Aku Benci Raya

Awie turut terbabit membintangi telefilem Aku Benci Raya bergandingan dengan Erra Fazira yang akan ditayangkan menerusi Astro pada pagi hari raya pertama.

“Judulnya seakan kena dengan saya,” katanya.

Menurutnya, Aku Benci Raya mengisahkan D lakonan Erra yang tidak suka menyambut hari raya.

Dia menggunakan Amir (Awie) yang juga seorang ‘kutu’ untuk balik kampung dan mengakui sebagai bakal suaminya.

Matlamatnya supaya bapanya membenci Amir dan mereka tidak menyentuh soal kahwin. Bagaimanapun, situasi lain berlaku apabila bapanya dan orang kampung menyukai Amir.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");