Jenayah

Ribuan ringgit lesap akibat saham palsu

JOHOR BAHRU – Dua individu tampil mendakwa diri mereka mengalami kerugian dalam bentuk wang tunai selepas ditipu seorang lelaki yang menawarkan jual beli saham.

Mangsa, Chooi Yok Kuoi, 66, berkata, dia bertemu dengan lelaki bernama Michael Lee di sebuah hotel di sekitar bandar raya ini, 18 Januari lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit menawarkan untuk membeli saham di Amerika Syarikat dan dirinya bersetuju untuk membeli saham berkenaan seterusnya memasukkan wang berjumlah lebih RM200,000 ke dalam tiga akaun bank.

“Kesemua wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun milik sebuah syarikat yang beralamat di Singapura.

“Pada April, saya telah terima emel dari Michael memberitahu saham yang saya beli mengalami kerugian dan meminta saya memasukkan lagi wang sebanyak RM38,000,” katanya.

“Sebaik sahaja menerima emel berkenaan, dia ada menelefon Michael untuk berjumpa, namun lelaki terbabit enggan berbuat sedemikian,” katanya ketika ditemui pada sidang media anjuran Ketua Biro Aduan MCA Johor, Kua Song Tuck di Kelab Akhbar Cina Johor Selatan semalam.

Yok Kuoi percaya Michael telah menipu dirinya kerana dia tidak diberi apa-apa surat yang menyatakan bahawa dia telah membeli saham di Amerika Syarikat.

Seorang lagi mangsa penipuan yang mahu dikenali sebagai Chan, 47, berkata, Michael yang mengakui wakil sebuah syarikat pelaburan saham bertemu dengannya pada awal Januari lalu, selepas diperkenal oleh seorang rakan.

“Saya membuat pendaftaran dengan menandatangani kontrak sebagai ahli dan telah diminta oleh Michael untuk membuat pembayaran deposit sebagai ahli.

“Saya memasukkan wang sebanyak USD20,000 ke akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Kuala Lumpur.

“Kemudian saya sekali lagi memasukkan wang sebanyak USD30,000 ke akaun yang sama. Selepas selesai memasukkan wang, saya telah berjumpa dengan Michael untuk menunjukkan resit bank dan Michael berjanji saya akan mendapat keuntungan berganda dari pelaburan dibuat selepas enam bulan,” katanya.

Chan berkata, pada awal Mei lalu, dia ada menerima emel yang menyatakan pihak syarikat mengalami kerugian dan memintanya memasukkan lagi wang.

Katanya, dalam emel itu turut memberitahu akaun syarikat akan dilupuskan dalam tempoh dua minggu jika dirinya tidak memasukkan wang seperti diminta.

“Pada awalnya, saya ditunjukkan oleh pihak mereka bahawa pelaburan saya berjaya meraih keuntungan, namun ketika bulan April statistik menunjukkan pelaburan saya ke atas syarikat terbabit mengalami kerugian yang banyak.

“Oleh itu, apabila pihak syarikat meminta lagi saya memasukkan wang pada bulan Mei, dan mahu melupuskan akaun saya jika gagal berbuat sedemikian, saya berasa diri saya telah ditipu oleh syarikat tersebut,” katanya.

Yok Kuoi dan Chan mengakui percaya mereka tidak boleh mendapatkan kembali wang yang sudah lesap, namun mahu orang ramai lebih berhati-hati dengan penipuan dilakukan oleh lelaki terbabit.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");