Perak Hari Ini

Rombakan Kabinet:Mengapa Perlu Wujudkan Spekulasi Dan Persoalan?

TAIPING: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mempersoalkan tindakan dan sikap segelintir pihak yang menimbulkkan pelbagai spekulasi dan persoalan sejurus selepas rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lalu.

Katanya, sebelum rombakan Kabinet terjadi, terdapat beberapa spekulasi telah timbul tetapi tidak berlaku dan semua pihak gembira menerimanya.

“Sebelum ini ramai yang buat spekulasi tentang rombakan Kabinet sampai begitu yakin tetapi tak jadi. Masa itu semua macam seronok.

“Tetapi bila kita buat (rombakan Kabinet), kenapa perlu buat pelbagai spekulasi dan persoalan?,”soalnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perjumpaan Yang Berhormat Timbalan Menteri Bersama Kepimpinan Biro Tatanegara Malaysia, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya pula mengenai alasan pemilihan Jemaah Kabinet yang baharu, beliau menolak untuk memberikan sebarang ulasan.

“Pemilihan yang dibuat atas apa juga alasan, saya tak nak campur,”tegasnya.

Katanya lagi, beliau tetap menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap Timbalan Presiden Parti, jadi saya hormat dia sebagai Timbalan Presiden.

“Saya ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Zahid Hamidi yang diberi kepercayaan untuk menduduki tempat kedua tertinggi dalam Negara,”katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana masih mengekalkannya di dalam Kabinet yang baharu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kekalkan saya. Saya berikrar bahawa saya akan tetap bersama-sama dengan kepimpinan Negara,”katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rombakan yang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan gerak kerja Kerajaan.

“Pada saya, kita kena melihat dalam konteks yang lebih besar dan apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Paling penting, kita kena melihat apa yang boleh kita sumbangkan. Hasrat rombakan ini adalah untuk mengukuhkan gerak kerja kita,”katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri telah merombak Kabinet dengan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan beberapa Menteri lain pada Selasa lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");