Berita Hari Ini

“Saya Ditawarkan RM7.6 Juta Untuk Data Yang Dicuri” – Justo

BANGKOK: Warga Swiss, Xavier Andre Justo mendakwa dia dijanjikan AS$2 juta (RM7.6 juta) sebagai pertukaran dengan data yang diambil daripada bekas majikannya PetroSaudi International.

Justo, yang kini dipenjara di Thailand berkaitan cubaan memeras ugut bekas majikannya memberitahu The Straits Times dalam satu temu bual di penjara bahawa dia tidak pernah dibayar apa yang telah dijanjikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka Malaysia.

Justo mendakwa perjanjian dicapai di Singapura pada Februari berhubung penjualan dokumen-dokumen, diikuti perbincangan panjang tentang bagaimana wang itu akan dibayar kepadanya.

Kumpulan orang yang ditemuinya di Singapura untuk berunding tentang penjualan data itu telah dinamakan dalam pengakuan 22 muka surat Justo yang dibuat kepada polis Thailand.

Dia menunjukkan salinan pengakuan itu kepada The Straits Times.

“Saya cuba untuk membuka akaun di Singapura, untuk mendapatkan wang yang dibayar secara terus dari akaun (pembeli),” kata Justo.

“DBS Bank menolak, saya tidak tahu mengapa. Selepas itu saya membuka akaun di Abu Dhabi dengan nama saya sendiri di mana ia telah ditolak oleh (pembeli) kerana akaun itu atas nama saya.”

“Kemudian saya cuba menggunakan akaun syarikat saya di Hong Kong dan beliau berkata perkara yang sama, selepas itu melalui syarikat Luxembourg dan sekali lagi (pembeli) enggan dan selepas itu Clare Brown mengetuainya,” katanya.

Dia merujuk kepada Clare Rewcastle-Brown, editor Sarawak Report kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Britain, yang sepanjang tahun lalu telah membuat dakwaan menakjubkan tentang penyelewengan berbilion ringgit di firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di mana lembaga penasihatnya diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justo mendakwa pembeli juga ‘menawarkan membayar saya dengan wang tunai’.

“Jadi saya sepatutnya pergi ke Singapura setiap minggu atau setiap minggu-minggu yang lain untuk menerima sampul surat dengan jumlah wang beberapa ribu atau berpuluh-puluh ribu, dan mengulangi proses ini selama berbulan-bulan sehingga jumlah akhir dibayar. Dan sekali lagi saya menolak,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");