Sukan Hari Ini

Simeone angkat maruah Atletico

MADRID – Setelah Diego Simeone dilantik menjadi pengurus Atletico Madrid pada Disember 2011, Atletico masih berada dalam prestasi terburuk dengan hanya menduduki tangga ke-11 Liga Sepanyol dan tidak pernah memenangi mana-mana kejohanan domestik ketika itu.

Bagaimanapun dalam tempoh empat tahun, Atletico mula dikenali dan menjadi buah mulut para peminat di seluruh dunia yang mengatakan mengenai kehebatan mereka apabila berada di gelanggang lawan.

Satu persatu nama kelab gergasi se­perti Barcelona dan Real Madrid tumbang sejak dikendalikan oleh pengurus berusia 45 tahun itu.

Kejutan demi kejutan telah dibuat sehingga berjaya menggondol lima trofi kejuaraan dalam tempoh empat tahun termasuk juara Liga Sepanyol untuk musim 2013-2014.

Apa yang paling diingati ialah berjaya memadamkan rekod 18 tahun tanpa kejuaraan utama dengan memenangi gelaran juara Liga Sepanyol pada 2014.

Bagaimanapun, sejak itu, pemain-pemain bintang yang berjaya mencipta sejarah itu hilang seorang demi seorang gara-gara dipancing oleh kelab gergasi dengan ganjaran yang cukup lumayan.

Thibaut Courtois, Diego Costa dan Filipe Luis menyertai Chelsea tahun lalu, manakala Miranda menyertai Inter Milan. Terbaharu pemain paling berpengaruh yang beraksi diposisi sayap, Arda Turan pula secara rasminya telah menyertai skuad The Catalans.

Sejak itu, pasukan Atletico gagal mendominasi mana-mana kejohanan di Eropah. Walaupun talian hayat kedua telah digunakan sejak kehilangan beberapa pemain tonggak, namun kemasukan David Villa, Mario Mandzukic, Diego Ribas dan Adrian gagal memberikan impak positif dalam tempoh satu musim.

Bagi Simeone, dia sebenarnya sudah ada perancangan tersendiri untuk mengembalikan kegemilangan Atletico iaitu dengan menggunakan pemain-pemain muda di bawah akademi Atletico sendiri.

Dengan mengekalkan pemain senior seperti Diego Godin, Juanfran, Gabi, Koke, Tiago, Mario Suarez dan Raul Garcia, pemain muda seperti Jan Oblak, Jose Gimenez, Saul Niguez dan Oliver Torres turut dilihat bakal menjadi pahlawan baharu Atletico di atas padang musim depan.

“Torres akan menjadi pemain tunjang bagi Atletico pada musim depan. Dia banyak belajar untuk menjadi seorang penyerang terbaik sewaktu dipinjamkan ke Porto dan dia berjaya membuktikan dia mampu menjadi peledak berbisa dalam masa terdekat ini.

“Kami banyak kehilangan pemain tonggak pada musim lepas dan saya yakin kami mampu mengembalikan kegemilangan Atletico musim depan menerusi kekuatan pemain-pemain muda. Simeone telah mempunyai pe­rancangan tersendiri untuk melihat Atletico terus menerus mencapai kejayaan,” kata Gabi.

Mengikut sejarah, pemain penyerang yang pernah menyarung jersi Atletico seperti Fernando Torres, Sergio Aguero, Diego Forlan, Radamel Falcao dan Diego Costa adalah penyerang yang sangat berjaya.

Bagaimanapun, selepas berjaya mencetuskan fenomena tersendiri, semuanya berjaya dipancing dengan kelab gergasi lain.

Episod berbeza pula ditunjukkan oleh penyerang Atletico untuk musim lalu iaitu Antoine Griezmann dan Mario Mandzukic.

Griezman berjaya memberi impak kepada pasukan pada musim lalu apabila berjaya meledakkan 25 gol dan dia dianggap produk terbaharu Atletico yang sedang mencipta nama. – Agensi

-http://www.kosmo.com.my/kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");