Sukan Hari Ini

Tangisan Rio

Antwerp: Nasib Malaysia bagaikan telur di hujung tanduk apabila terpaksa menunggu keputusan empat pusingan kelayakan selepas ini untuk tempat ke Olimpik Rio selepas tewas 1-4 kepada Ireland dalam perebutan tempat kelima saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, semalam.

Kekalahan itu meletakkan peluang Malaysia untuk layak bagaikan hampir tertutup rapat tapi skuad negara masih menaruh sekelumit harapan apabila mengharapkan pasukan yang sudah mara ke Rio akan muncul juara menerusi pusingan kelayakan peringkat benua pula.

Baki empat pusingan kelayakan itu membabitkan saingan Sukan Pan Amerika pada 10-26 Julai, Kejohanan Euro (21-30 August) Piala Ocenia (21-25 Oktober) dan Piala Negara-Negara Afrika (17-25 Oktober).

Empat pasukan yang beraksi di separuh akhir di Antwerp ini – Australia, Belgium, Britain dan India sudah layak bersama-sama Jerman, Belanda dan Argentina yang mengesahkan tempat menerusi pusingan kelayakan di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu. India layak menerusi tiket juara Sukan Asia tahun lalu.

Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia kini menjadi pasukan simpanan kelima di belakang Kanada, Sepanyol, New Zealand dan Ireland selepas tamat kedua-dua pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia itu.

Dalam aksi yang sepatutnya Malaysia menang di Stadium KHC Dragons, skuad negara gagal mengulangi kemenangan 4-2 peringkat kumpulan apabila menampilkan aksi berbeza dengan melepaskan banyak peluang terhidang sepanjang perlawanan.
Jurulatih Tai Beng Hai yang kecewa dengan kekalahan itu mengakui hampa dengan persembahan pemain negara susulan kegagalan mereka mengaut kesempatan untuk menjaringkan gol.

“Kita tidak bermain seperti perlawanan pertama ketika menang ke atas Ireland. Masa itu kita gunakan sepenuhnya setiap peluang. Silap kita hari ini mungkin kerana berikan mereka dua gol awal itu sehingga sukar untuk pemain bangkit selepas itu.

“Dalam mana-mana perlawanan peringkat tertinggi, memang sukar untuk mengejar apabila ketinggalan dua gol dan itulah yang berlaku,” katanya sambil menyifatkan penjaga gol Ireland David Harte sebagai penghalang utama skuad negara yang dalam menyelamatkan beberapa percubaan.

Harte yang beraksi dalam Liga India menjadi duri dalam daging bagi pasukan negara apabila menyelamatkan sekurang-kurangnya dua gol pasti daripada Muhamad Haziq Samsul dan Faizal Saari selain memainkan peranan menafikan 10 pukulan sudut penalti.

Mengenai peluang pasukan negara ke Rio, Beng Hai mengakui walaupun hampir tutup, beliau tetap menaruh harapan masih boleh melakukannya menerusi pintu belakang apabila tamat semua pusingan kelayakan peringkat benua.

“Kita kena tunggu dan lihat,” katanya.

Jurulatih Ireland Craig Fulton pula berkata, anak buahnya jelas belajar daripada kekalahan peringkat kumpulan dan membuktikannya dengan menjaringkan dua gol dalam 15 minit pertama menerusi Kyle Good dan Peter Caruth pada minit ke-5 dan 13.

Mereka semakin selesa di depan menerusi gol Alan Sothern pada minit ke-40 sebelum Faiz Helmi Jali menjaringkan gol sagu hati pada minit ke55. Tapi jaringan itu sudah tidak membawa sebarang makna apabila Michael Darling menamatkan sisa-sisa kebangkitan pemain negara dengan menjaringkan gol keempat Ireland seminit sebelum tamat perlawanan.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");