Sukan Hari Ini

Terima padah

Petaling Jaya: Nasib malang yang menimpa Selangor pada 2008 mungkin berulang apabila bakal berdepan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keengganan mereka melepaskan tiga pemain menyertai latihan skuad Pilihan Malaysia untuk menentang Liverpool, baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau sudah menerima laporan penuh mengenai kes itu dan kini hanya menunggu keputusan Jawatankuasa Status badan induk berkenaan.

“Saya sudah mendapat laporan jurulatih Dollah Salleh dan sudah menyerahkannya kepada Jawatankuasa Status. Setakat ini, saya masih belum mendapat apa-apa (keputusan) daripada Jawatankuasa Status, mungkin mereka sedang menilai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengumuman penganjuran Trofi Juara-Juara Asia (ACT) edisi ketiga semalam.

Kontroversi tercetus apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) enggan melepaskan tiga pemainnya Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi dan pemain import Robert Cornthwaite menyertai skuad Pilihan Malaysia kendalian Dollah menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool pada 24 Julai lalu dalam aksi persahabatan yang berkesudahan seri 1-1, dengan alasan perlawanan itu bukan berstatus A.

Mungkin FAS terlupa insiden 2008 apabila mereka pernah didenda RM20,000 apabila empat pemainnya Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Safee Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal didakwa ‘cabut lari’ daripada klinik kendalian bekas penyerang kelab Liverpool Ian Rush.

Kesemua pemain itu didenda RM1,000 manakala jurulatih Selangor ketika itu Dollah yang dikatakan memberi arahan kepada keempat-empat pemain itu supaya tidak menyertai klinik berkenaan pula didenda RM10,000.

Lebih memeritkan, Selangor dipotong tiga mata dalam saingan Liga yang menyaksikan mereka terpaksa menamatkan kempen di tangga keempat.

Ketika ditanya adakah FAM turut tidak berkompromi kali ini, Hamidin bagaimanapun enggan membuat keputusan yang mendahului Jawatankuasa Status.

“Saya tak pasti (keputusan) itu, kena tunggu perkembangan daripada jawatankuasa itu. FAM ikut peraturan, kalau salah tetap salah, kalau tak salah, tak salahlah,” tegasnya.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");