Membawang Hari Ini

‘Teruja cabang baru’

Lebih sedekad berkecimpung dalam bidang seni, aktor berkaliber Zizan Nin melebarkan sayap sebagai penerbit menerusi drama Fajar Di Bukhara (FDB).

Drama bersiri terbitan Aquila Emas Sdn Bhd (AESB) itu bersiaran di saluran RTM pada Ramadan lalu.

Walaupun bergelar penerbit, cinta terhadap karier lakonan tidak pernah berkurang bahkan Zizan mahu kedua-duanya bergerak seiring.

“Dua kerjaya ini menuntut komitmen tinggi. Apatah lagi pembabitan saya sebagai penerbit kandungan kreatif masih baru, jadi banyak lagi yang perlu saya belajar.

“Antaranya menghadiri kursus serta bertukar pandangan dengan rakan senior bagi memantapkan lagi produk yang bakal diterbitkan.

“Saya teruja dengan cabang baru ini dan yakin ia pilihan tepat dan terbaik,” katanya.

Zizan turut menzahirkan perasaan gembira dan syukur apabila FDB mendapat maklum balas positif penonton.

“Saya berasa lega dengan komen dan maklum balas penonton. Ramai memuji kelainan naratif FDB serta lokasi penggambaran di Uzbekistan.

“Hasrat saya dan syarikat untuk tampil dengan pembaharuan mendapat perhatian dan diterima baik pencinta drama melayu,” katanya.

Zizan tidak menafikan berdepan cabaran besar apabila menggalas tanggungjawab baru itu.

“Saya perlu memastikan cerita dan pengisian yang bakal disajikan itu ada objektik, mendidik serta ada nilai murni untuk tatapan umum,” katanya yang menjayakan sesi fotografi istimewa bersama isterinya, Hani Harun yang juga penerbit serta penyampai berita saluran ntv7.

Sambung Zizan, menerusi karier itu juga dia berpeluang menterjemahkan idea dalam aspek berbeza, lebih segar, unik dan kreatif.

“Saya cuba ketengahkan idea yang lari daripada apa pernah dipersembahkan sebagai pelakon sebelum ini.

“Tanggungjawab sebagai penerbit sangat berat kerana saya boleh memilih untuk mencorakkan minda penonton. Saya amat berhati-hati dalam penghasilan produk terbitan AESB agar ia berupaya meniupkan elemen positif kepada penonton, kru produksi, pelakon dan lain-lain.

“Saya juga perlu berdisiplin, cekap dan bijak menguruskan pelbagai aspek penerbitan agar apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa membebankan mana-mana pihak. Ia seperti mengurus syarikat yang mempunyai ramai pekerja.

“Selepas ini, saya akan menerbitkan telefilem yang dijangkan memulakan penggambaran pada Ogos nanti,” katanya.

Belum puas berlakon

Meskipun sudah lama mencanai bakat sebagai pelakon, Zizan mengakui belum puas dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan yang terbaik.

“Karier ini mendewasakan saya dan terlalu banyak pengalaman pahit manis dilalui sebagai anak seni. Saya tidak akan meninggalkan kerjaya yang sudah sebati dengan jiwa.

“Justeru, saya amat menitikberatkan perkara asas yang perlu dijaga pelakon seperti disiplin, kesungguhan dan komitmen. Saya juga yakin mampu membahagikan masa antara kerja belakang dan hadapan kamera,” katanya.

Selepas Tanda Putera, Zizan menjayakan filem Ophilia. Biarpun sekadar pelakon undangan dia berpuas hati dengan watak yang diberikan.

Zizan tanpa berselindung mengakui rindu beraksi di layar perak dan berharap ada pihak sudi menawarkan watak untuknya.

“Saya tidak mahu tangkap muat. Filem menuntut pelaburan yang besar daripada penerbit dan sebagai pelakon saya turut melaburkan masa dan kudrat demi memastikan watak dapat direalisasikan seperti yang dikehendaki pengarah serta skrip,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan masih menyiapkan kira-kira 10 peratus baki penggambaran drama Strawberri & Karipap yang berlangsung di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.

“Saya bersyukur kerana terbabit dengan projek ini sejak musim pertama dan baru selesai penggambaran musim ke dua dan supertelefilem di Gold Coast.

“Saya tumpang bangga dengan kejayaan drama Strawberri & Karipap yang mendapat perhatian ramai, khususnya kanak-kanak dan seisi keluarga,” katanya yang merancang melanjutkan pelajaran demi memajukan diri dan mendalami ilmu penerbitan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");