Panasnya Hari Ini
Like

Tidak Akan Tangkap Muhyiddin

July 31, 2015
70 Views
0 Comments
2 minutes read
Tidak Akan Tangkap Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang waran tangkap dikenakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan amaran juga telah diberikan oleh pihak berkuasa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin berkenaan.

Memetik sumber daripada Mstar online, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan khabar angin itu sebagai ‘sampah’, dan beliau turut tidak memahami tujuan tuduhan itu tersebar memandangkan tidak ada sebab bagi Muhyiddin untuk ditangkap.

“Saya menerima banyak panggilan daripada mereka yang prihatin bertanya sama ada benar atau tidak bekas timbalan perdana menteri akan ditangkap. Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa beliau tidak ditangkap.

“Khabar angin ini benar-benar tidak masuk akal. Saya telah meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengesahkan dakwaan itu, mereka juga menafikannya.

“Saya kemudian menghubungi Tan Sri (Muhyiddin) secara peribadi pada pukul 2 pagi (semalam) untuk memastikan bahawa polis tidak menahan dia dan isterinya,” kata beliau dalam satu temu bual bersama The Star.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan dan khabar angin yang berniat jahat itu.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat khabar angin ini. Khabar angin ini berniat jahat,” kata beliau.

Rabu lalu, timbul spekulasi bahawa Muhyiddin akan ditangkap selepas beliau digugurkan daripada senarai Kabinet.

Khabar angin itu tersebar dengan cepat berikutan penyebaran klip video ‘bocor’, memperlihatkan Muhyiddin sedang berbual dengan beberapa individu, tentang perbualannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan isu 1Malaysia Development (1MDB ).

Mengenai rakaman itu pula, Dr Ahmad Zahid berkata perkara yang berlaku adalah di dalam rumah Muhyiddin dan perbualan di kalangan rakan-rakan tidak sepatutnya disebarkan.

“Orang tengah marah dia akan bercakap apa-apa sahajalah.

“Saya faham bagaimana rasanya kerana saya pernah mengalami semua itu apabila saya disuruh meletakkan jawatan (sebagai Ketua Pemuda Umno) dan kemudian telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kebenaran dalam dakwaan Muhyiddin, Dr Ahmad Zahid tidak menjawab tetapi mengulangi:

“Orang tengah marah dia akan bercakap apa-apa sahajalah. Apa pun, kita mesti hormat kepadanya.”

Komen & Pendapat

Leave a Reply