Jenayah

Tiga deretan kedai musnah terbakar

PADANG BESAR – Tiga deretan kedai termasuk kedai runcit dan kedai makan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri Jalan Semadong di sini, musnah dalam satu kebakaran, awal pagi semalam.

Pemilik kedai runcit, Fauziah Abdul, 42, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi selepas dimaklumkan oleh pengawal keselamatan SMK Beseri.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh pengawal keselamatan SMK Beseri yang datang mengetuk pintu rumah saya.

“Selepas mengetahui berita itu, saya bergegas ke kedai bersama suami.

“Saya anggarkan kerugian kira-kira RM30,000 kerana semua barang dalam kedai terbakar termasuk lesen perniagaan dan beberapa dokumen penting,” katanya yang menyewa kedai itu sejak Mac lalu.

Menurutnya, dia baru saja mendapat lesen Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan kini sedang dalam proses mendapat kelulusan premis dari pihak bomba.

“Sejak dibuka empat bulan lalu, akhir-akhir ini barulah kedai runcit saya mendapat sambutan tetapi saya tidak sangka pula kedai ini akan musnah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, tiga deretan kedai yang berkeluasan 40×60 kaki persegi itu musnah 80 peratus.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.28 pagi dan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar serta Padang Besar dikerahkan ke tempat kejadian bersama dua jentera dan sebuah jentera tangki air.

“Api berjaya dikawal pada jam 5.13 pagi. Punca siasatan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan sebuah lagi kedai yang terbakar adalah kedai kosong.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");