Panasnya Hari Ini

Tiga Sebab Permit The Edge Digantung

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN)menjelaskan tiga sebab mengenai tindakan penggantungan permit penerbitan akhbar harian ‘The Edge’ dan ‘The Edge Financial Daily’ untuk tempoh tiga bulan bermula 27 Julai ini.

Memetik sumber daripada Mstar, tindakan tersebut diambil berikutan tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Keduanya, laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara.

Menurut Ketua Setiausaha KDN Datuk Alwi Ibrahim dalam kenyataan penggantungan itu dibuat selepas peneletian terperinci dibuat terutama sekali berkaitan 1MDB dalam kedua-dua penerbitan tersebut dan jawapan surat tunjuk sebab juga telah dikemukakan.

“Kedua-dua penerbitan itu didapati mengandungi hasil penerbitan yang melanggar penerbitan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 kerana mengandungi hasil penerbitan yang memudarat atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara,” katanya.

Tambahnya Alwi lagi, media juga sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam laporan yang diterbitkan selaras dengan kebebasan yang diberi.

“Impak kepada laporan yang tidak bertanggungjawab perlu diperhalusi kesannya kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara dan tidak bersalahan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 2012),” katanya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");