Berita Hari Ini

WSJ bukan serang Najib tapi negara juga kena

SHAH ALAM – Tindakan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa syarikat yang mempunyai kaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyalurkan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai sesuatu yang serius.

Ketua Umno Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, ia bukan sahaja melibatkan Perdana Menteri sebagai individu, tetapi turut memberikan kesan kepada negara.

“Amat serius tuduhan yang tidak berasas, WSJ langsung tidak kemukakan bukti dakwaan itu tetapi akan memberikan implikasi kepada negara dari segi ekonomi.

“Ia juga boleh membuatkan pelabur melihat negara kita tidak stabil dan sukar untuk meneruskan pelaburan. Tidak termasuk lagi dengan pelaburan terbaharu?” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan WSJ beberapa hari lalu dan telah dinafikan Pejabat Perdana Menteri.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri berkata, tuduhan terbaharu itu bersumberkan daripada beberapa penyiasat tidak dinamakan dijadikan asas untuk menyerang Najib adalah sabotaj politik yang berterusan.

“Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka termasuklah menggunakan tindakan undang-undang agar dakwaan palsu tidak berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, pendedahan palsu melibatkan Perdana Menteri adalah sesuatu yang biasa berlaku dari ‘dalam’.

“Saya percaya ia adalah mainan pihak tertentu yang mahu mengaibkan Najib dengan pelbagai cara termasuk menggunakan media luar.

“Melihat ketenangan Perdana Menteri, kita boleh jangka yang perkara itu tidak berlaku dan memadai beliau menafikan dakwaan itu,” katanya yang enggan mengesahkan dari dalam Umno atau sebaliknya.

Katanya, usaha kumpulan tertentu yang ada kepentingan dipercayai melakukan perkara ini.

“Sepatutnya dalam keadaan ini, kita perlu terus bersatu agar lebih kuat, bukannya ada agenda tersendiri untuk mencari tempat dan kedudukan,” katanya.

Tambahnya lagi, sebelum ini, Najib juga pernah difitnah dengan tuduhan terlibat dalam pembunuhan model Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");