Perak Hari Ini

Akar Umbi Perlu Bersuara, Jangan Berselindung – Khairy

LUMUT: Ahli akar umbi UMNO perlu menyuarakan pandangan mereka terhadap barisan kepimpinan bagi memastikan parti tersebut tetap mendapat sokongan daripada rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, mereka tidak seharusnya berselindung atau menyembunyikan hakikat yang berlaku pada masa kini.

Ujarnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengatakan bahawa UMNO berada pada kedudukan yang kukuh, mereka seharusnya berpijak pada bumi nyata.

“Kita perlu mengakui bahawa kita berhadapan dengan satu keadaan dan persekitaran politik yang sungguh mencabar dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kalau ada daripada sesiapa yang katakan kepada saya, bahawa kita berada pada keadaan yang begitu kukuh, dimana keyakinan rakyat begitu tinggi terhadap UMNO dan BN, saya minta supaya orang itu berpijak diatas bumi yang nyata,” tegasnya.

Beliau berkata, akar umbi seharusnya berani untuk bercakap benar bagi menyelamatkan parti daripada terus dibenci oleh rakyat.

“Kalau akar umbi UMNO tidak menyatakan yang benar bahawa hari ini kita berhadapan dengan keadaan yang mencabar dan pelbagai isu yang datang satu persatu yang tidak dapat kita mengatasi.

“Maka kalau kita tidak jujur dengan diri kita, dua tahun setengah yang akan datang ini akan membawa kepada gelombang kemarahan rakyat yang tidak dapat kita bendung lagi,” kata beliau.

Khairy berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Lumut tahun 2015 di sini, pada Jumaat.

Turut hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Lumut merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Tegasnya, ini merupakan masa untuk akar umbi bersuara sekiranya mereka sayangkan perjuangan UMNO dan mahu menyelamatkan parti itu pada pilihan raya yang akan datang.

Ujar Khairy, tindakan tersebut diambil bukanlah kerana untuk menyalahkan menyalahkan mana-mana pihak dan tidak menyokong institusi parti, tetapi hanya untuk menyatakan kebenaran sahaja.

“Kita perlu sampaikan suara rakyat terhadap parti dan pemimpin-pemimpin kita. Kalau kita bisu, tutup mulut, buat-buat seperti tidak ada masalah diluar sana, maka kita hanya berkhayal di dalam dunia kita sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, populariti seorang pemimpin dalam sesebuah parti bukanlah jaminan untuk mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli, malahan rakyat.

“Kalau kita menganggap bahawa kita popular di kalangan UMNO, janganlah kita anggap bahawa orang UMNO sahaja yang akan mengundi pada pilihan raya yang akan datang.

“Bagaimana dengan penerimaan rakyat? 3 juta ahli UMNO sangat penting, tetapi mesti ingat pengundinya adalah 15 juta lebih. Kalau mereka tidak sokong kita, siapa lagi yang nak sokong kita untuk menang pilihan raya akan datang,” soalnya.

Beliau juga menyarankan agar akar umbi untuk keluar dan mendekati rakyat yang bukan ahli UMNO bagi menyokong perjuangan parti itu.

“Ia bukanlah satu yang mudah kerana pada hari ini rakyat hendak melihat samaada UMNO memahami keresahan dan apa yang sedang dilalui oleh rakyat. Kita perlu berani untuk buat perubahan supaya dapat memenangi semula hati rakyat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Khairy turut berkata, UMNO tidak boleh bersandarkan kepada kelemahan dan keburukan parti pembangkang untuk memperolehi kemenangan.

“Bila kita menang dalam satu pertandingan, mestilah bukan atas kelemahan dan keburukan musuh tetapi menang di atas kekuatan sendiri.

“Jika kita hanya bergantung kepada kelemahan musuh, maka ini bukanlah kemenangan sebenar, kemenangan sebenar adalah apabila kita kuat,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");