Membawang Hari Ini

Amir (Raja Lawak) Buka ‘Roti Bakor Amirreka’

PETALING JAYA: Pelawak Amir (Raja Lawak) meluaskan lagi kerjayanya apabila berjinak-jinak dalam perniagaan makanan snek roti bakar yang diberi nama Roti Bakor Amirreka.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 27, berkata, dia yakin untuk memulakan perniagaan berkenaan selepas mendapat tunjuk ajar daripada seorang bekas cef di sebuah hotel terkenal yang juga pemilik restoran From Taiping With Love.

“Saya tertarik untuk memulakan perniagaan ini selepas mendapat tunjuk ajar daripada seorang cef selain snek berkenaan mudah disediakan dan digemari ramai.

“Sudah dua bulan saya menjalankan perniagaan ini dan Alhamdulillah roti bakar berkenaan mempunyai penggemar setia selain pelanggan yang datang bertambah setiap hari,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Amir lagi, setakat ini dia sudah pun membuka dua cawangan Roti Bakor Amirreka di restoran From Taiping With Love di Sri Gombak dan Mamak Republik, Batu Caves dekat sini.

“Buat permulaan saya memperkenalkan tiga jenis roti bakar iaitu inti ayam, daging dan istimewa. Alhamdulillah sambutan menggalakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, dia juga membuka peluang kepada individu yang berminat untuk berniaga ‘Roti Bakor Amirreka’ dengan menyediakan barangan keperluan bagi memudahkan menjalankan perbiagaan tersebut selain peralatan asas lain.

Bagaimanapun kata Amir, tawaran itu hanya dibuka kepada mereka yang menetap di Lembah Klang bagi memnbolehkan dia memantau perjalanan perniagaan tersebut.

“Saya ingin berkongsi peluang perniagaan kepada sesiapa yang ingin menambah pendapatan dengan menyertai saya tetapi terbuka kepada yang tinggal di Lembah Klang sahaja.

“Saya akan sediakan semua barang keperluan termasuk perkakas asas bagi memulakan perniagaan tersebut,” katanya.

Tambah Amir, setakat ini ramai memberikan respons tetapi kebanyakkannya di luar Kuala Lumpur dan buat masa dia ingin fokus di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu.

“Banyak yang berminat tetapi kebanyakkannya luar dari Kuala Lumpur. Susah pula saya hendak uruskan nanti dan buat masa ini biarlah fokus di Lembah Klang sahaja,” katanya.

Amir berkata, kepada yang berminat untuk mencuba boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman Instagramnya @amirrajalawak atau @rotibakoramirreka atau pun Facebook Roti Bakor Amirreka.

Dalam perkembangan lain, Amir baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua telefilem berjudul Akhil Bakhil dan Din Sardin terbitan Ariff Holdings.

Selain itu, filem lakonannya Jejak Warrior sedang ditayangkan di pawagam selain muncul dalam program Super Spontan All Stars.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");